Bidang industri kreatif jadi komponen penting dalam pembangunan pendidikan di Sabah
Tarikh kemaskini: 25/06/2019

KOTA KINABALU, 25 Jun (Bernama) -- Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata bidang industri kreatif menjadi komponen penting dalam pembangunan pendidikan dan kemahiran sumber manusia bagi mengembangkan peluang pendidikan di negeri ini.
Beliau berkata kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap bidang berkenaan kerana ia selaras dengan keputusan kerajaan negeri untuk membuka hab baharu pendidikan negeri bermula dari Papar hingga ke Kuala Penyu.
"Ketika ini kita ada satu institusi berkaitan industri kreatif di negeri ini iaitu Pusat Kandungan Kreatif Animasi Sabah (SAC3) dan kementerian saya memang mengambil berat tentang perkara ini kerana ia adalah keperluan pada masa kini.
Ini kerana pembangunan industri kreatif adalah selaras dengan kemajuan multimedia dan animasi hiburan, jadi kita akan jadikan sektor kreatif salah satu komponen yang penting dalam pendidikan di Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi SAC3 Academy 2019, di sini, hari ini.
Sementara itu Dr Yusof berkata SAC3 akan disusun semula bagi menjadikannya sebuah pusat kreatif atau 'pusat reka bentuk' yang dapat menyediakan reka bentuk industri untuk syarikat tempatan dan bertaraf dunia.
"Ia termasuk reka bentuk untuk industri pembuatan kereta dan pesawat sejajar pendekatan syarikat pengeluar masa kini yang menggunakan sumber luar untuk membuat reka bentuk produk," katanya.
Dr Yusof berkata, usaha baharu itu disasar untuk menjadikan SAC3 sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang industri kreatif selain menyokong pembangunan sektor perindustrian, pendidikan dan pelancongan negeri.
SAC3 adalah sebuah institusi latihan yang dibangunkan menerusi inisiatif Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) bagi membangunkan potensi rakyat negeri ini dalam bidang industri kreatif.
Pada majlis graduasinya hari ini, 108 pelajar menerima sijil dalam bidang multimedia animasi, multimedia visual, produksi filem dan perantis serta perantis lanjutan.
-- BERNAMA
|