Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Selangor komited bela nasib bekas atlet


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan mempertingkatkan kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) bagi membela nasib bekas atlet Selangor yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata kerajaan negeri komited membantu bekas atlet Selangor yang jasa mereka semakin dilupakan.

"Kita akan bekerjasama dengan Yakeb (terutamanya) dari segi peruntukan yang akan diberikan secara tahunan supaya mereka (Yakeb) boleh menjejaki para atlet kita yang pernah berjasa kepada negeri Selangor.

"Kerajaan Selangor tidak mahu kebajikan bekas atlet ini terabai dan kita memberi isyarat kepada pihak luar bahawa kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kebajikan mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat bekas pemain Selangor era 70-an, Zapril Hashim di rumahnya di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai Zapril, Mohd Khairuddin berkata pihaknya akan mencari jalan membantu bekas pemain Selangor itu yang membantu Selangor meraih Piala Malaysia sebanyak lima kali.

Pada lawatan berkenaan, Khairuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Jaras turut menyerahkan bantuan peribadi sebanyak RM1,500 kepada Zapril untuk perbelanjaan hariannya.

Dalam pada itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata pihaknya akan mempertingkatkan kerjasama dengan exco sukan di setiap negeri bagi memastikan mereka tidak terlepas pandang bekas atlet kebangsaan yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kerjasama daripada kerajaan negeri Selangor amat menggalakkan terutamanya dari segi bantuan perubatan, malahan bantuan-bantuan lain turut disalurkan kepada Yakeb dan kami akan salurkan bantuan berkenaan kepada bekas atlet yang memerlukan," jelasnya.

Sementara itu, Zapril, 61, jelas terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri Selangor dan Yakeb kerana membiayai kos rawatan penyakit kencing manis yang dihidapinya ketika ini.

"Saya harap bantuan ini dapat membuka mata pihak lain dalam membantu bekas atlet negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kehidupan Zapril kian terhimpit sejak tiga jari kaki kanannya terpaksa dipotong pada 25 Mei lalu di Hospital Ampang, Selangor kerana menghidap penyakit kencing manis.

Zapril yang pernah mewakili Selangor dari  tahun 1978 sehingga 1986 hanya memperoleh RM200 sebulan atas ihsan rakan-rakan malah terpaksa tinggal bersama pekerja asing dari Bangladesh di sebuah rumah kedai di ibu kota.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel