Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Beri peluang Muthu terajui KOM


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed percaya Timbalan Presiden KOM, Datuk S.M Muthu adalah individu sesuai untuk menerajui badan induk olahraga negara.

Noorul Ariffin, yang memegang jawatan Naib Presiden KOM dari 2014 sehingga 2017, mengakui walaupun Muthu boleh dianggap veteran, namun beliau percaya Presiden Persatuan Olahraga Selangor itu mampu membawa perubahan terutamanya dalam memperkasakan program pembangunan olahraga di peringkat akar umbi.

Noorul Ariffin pada masa sama mengakui, penyandang kerusi Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim gagal memainkan peranan dalam melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan olahraga dengan bersandarkan kepada atlet sedia ada, selain dikatakan enggan menerima pandangan daripada persatuan olahraga negeri.

"Walaupun Datuk Muthu orang lama dalam KOM, kita mesti beri peluang kepada beliau kerana beliau boleh menerima pandangan daripada persatuan olahraga negeri.

"Contohnya, kita ketiadaan pelari jarak sederhana dan kita kekurangan atlet dalam acara padang, jadi kita perlu ada program pembangunan yang lebih mantap," katanya ketika diminta mengulas mengenai pemilihan pucuk pimpinan KOM bagi penggal 2019-2022 yang bakal diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan badan induk olahraga itu pada Ahad ini.

Pada pemilihan berkenaan, Karim bakal dicabar oleh Muthu yang telah menjadi Timbalan Presiden KOM selama dua penggal sejak 2014. 

Jawatan Timbalan Presiden akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim dan naib presiden, yang juga bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Bagi empat kerusi Naib Presiden, lapan individu dicalonkan termasuk dua penyandang iaitu Iyaru Muthusamy dan Datuk R. Annamalai. 

Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan layak mengundi pada pemilihan itu sempena AGM KOM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini.

Terdahulu, Noorul Ariffin, yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) ditemui pemberita selepas mengiringi exco Selangor, Mohd Khairuddin Othman melawat bekas pemain Selangor era 1970-an, Zapril Hashim di kediamannya di sini, hari ini.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel