Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wujudkan penerbangan terus Singapura-Sibu, P.Pinang-Sibu


Tarikh kemaskini: 25/06/2019




SIBU, 25 Jun (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menggesa diwujudkan penerbangan terus antara Singapura-Sibu dan Pulau Pinang-Sibu untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini, terutama menyaksikan keindahan Lembangan Sungai Rajang.

Pengerusi SUPP cawangan Dudong, Wong Ching Yong berkata dengan wujudnya penerbangan terus antara Sibu dan Singapura, Lembaga Pelancongan Sarawak boleh mempromosikan secara intensif persekitaran ekologi yang menarik Lembangan Sungai Rajang kepada warga Singapura dan menawarkan pakej pelancongan di kawasan itu yang dihuni hampir setengah juta penduduk.

“Tahun Melawat Malaysia akan diadakan tahun depan tetapi sejak pertama kali diwujudkan pada 1990, ramai warga Sarawak merasakan ia tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negeri ini, terutamanya di Lembangan Sungai Rajang,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Wong berkata ini disebabkan tiada penerbangan terus dari Singapura ke Sibu dan kekurangan acara pelancongan di kawasan itu. 

“Nampaknya Lembangan Sungai Rajang telah diabaikan. Apa yang membingungkan ialah landskap ekologi yang unik dan indah di lembangan ini, yang menarik tumpuan warga asing, tidak mendapat perhatian penuh dan sokongan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan kalendar Lembaga Pelancongan Sarawak, Sibu hanya mempunyai dua acara pelancongan tahun ini iaitu Festival Kebudayaan Borneo dan Festival Tarian Antarabangsa, kedua-duanya berlangsung bulan depan.

Wong berkata berdasarkan sumber Jabatan Imigresen dan diterbitkan dalam laman web Lembaga Pelancongan Sarawak menunjukkan lebih 4.5 juta orang melawat negeri ini setiap tahun sejak 2015, manakala lebih 320,000 ketibaan pelancong direkodkan pada Januari tahun ini, iaitu peningkatan 140,000 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Beliau mendedahkan semalam, Timbalan Presiden SUPP Datuk Chieng Buong Toon, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Nangka Chua Beng Seng, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Yek Tiew Chiong dan Wong melawat pejabat AirAsia Sibu untuk membincangkan kemungkinan penerbangan terus antara Sibu-Singapura serta laluan Sibu-Pulau Pinang.

Wong juga berkata dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong, adalah penting bagi kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan pelancongan.

Mengenai perkara lain, beliau berkata selepas Malaysia Airlines dan MasWings menghentikan perkhidmatan di sektor Sibu-Kuching, pesakit yang kritikal tidak dapat diterbangkan ke Kuching.

“AirAsia yang menawarkan perkhidmatan di laluan itu, tidak dapat menerbangkan pesakit kerana ia tidak menampung pengusung.

“AirAsia dan Hospital Sibu telah membincangkan perkara itu beberapa kali, tetapi setakat ini tiada lagi penyelesaian yang pasti,” katanya dan berharap pertemuan antara kedua-dua pihak dapat diadakan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Seksyen 5 tol WCE dibuka mulai 10 malam ini

 
     

Banjir: Tiga daerah di Sabah terjejas setakat 12 tengah hari

 
     

17 kampung di Membakut, Beaufort terjejas banjir

 
     

Hutang awam kerajaan negeri Perlis meningkat kepada RM403.32 juta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel