Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PDRM diarah buat sekatan jalan, halang aktiviti bawa keluar sisa toksik secara runcit


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarah untuk membuat sekatan jalan raya di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tidak berlaku aktiviti membawa keluar sisa toksik secara runcit oleh industri.

Arahan dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan berlakunya insiden sesak nafas dan muntah membabitkan murid dan pelajar dari beberapa sekolah di kawasan itu, baru-baru ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata sekatan dilakukan sejak 21 Jun lepas membabitkan seramai 30 anggota polis, setiap hari. 

“Asasnya kita takut dia (kilang yang terlibat dengan insiden) bawa sisa toksik itu keluar,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa sama akan melaksanakan operasi bersepadu bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) bagi memastikan 250 lagi premis kilang yang dikenal pasti mengendalikan bahan-bahan berbahaya, mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Bagi mengelak insiden sama berlaku, tindakan tegas penahanan operasi akan dikenakan kepada industri yang didapati melanggar SOP yang digariskan,” katanya.

Tambahnya, 30 premis terdahulu yang disenarai pendek oleh pihak berkuat kuasa kerana berisiko tinggi menyumbang kepada punca insiden berkenaan telahpun diperiksa dan hasilnya - satu daripada premis berkenaan iaitu premis yang memproses sisa toksik telah diarahkan membuat pelupusan sisa mereka, serta-merta.

“Sekarang kita lupuskan dulu bagi memastikan keadaan di Pasir Gudang selamat. Pelupusan sudahpun bermula dan dilakukan oleh premis itu sendiri dan akan disambung esok,” katanya.

Ditanya berapa jumlah sisa toksik yang dilupuskan itu, Mohd Khuzzan berkata itu akan dimaklumkan kemudian, namun beliau menegaskan ia (sisa) tidak ada kena-mengena dengan sisa toksik dari pencemaran Sungai Kim Kim. 

“Kita sudah mengambil sampel sisa toksik berkenaan untuk siasatan lanjut mengenai kaitannya dengan pencemaran udara kali ini,” tambahnya.

Berhubung mangsa yang masih diwad dan dirawat di hospital pula, beliau berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, tiada kes baru dilaporkan, selain sembilan orang yang masih berada di wad.

Semua mangsa berumur dari lapan hingga 17 tahun. 

“Perkembangan positif ini adalah hasil keputusan kerajaan menutup 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, mulai 25 hingga 27 Jun.

“Penutupan ini adalah signifikan memandangkan dari hari pertama kejadian, mangsa yang terlibat adalah terdiri daripada pelajar sekolah dan kanak-kanak di sekitar Pasir Gudang,” katanya.

-- BERNAMA  

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel