Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat remaja bergaduh didenda RM1,000


Tarikh kemaskini: 25/06/2019





KUANTAN, 25 Jun (Bernama) -- Empat remaja lelaki masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah terlibat dalam pergaduhan di perkarangan sebuah restoran makanan segera di sini, minggu lalu.

Majistret Nor Izzati Zakaria juga memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut. 

Mereka ialah Muhammad Syamil Muhaimin Ahmad Rizal, 20; Muhammad Haziq Aiman Zamani, 20; Afif Shuhairi, 20; dan Muhammad Luqman Hakim Aminullah, 19.  

Semua tertuduh yang berasal dari Kuantan dan Pekan didakwa terlibat dalam pergaduhan di hadapan restoran McDonalds di Sungai Isap di sini, pada 1 pagi 19 Jun lalu. 

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pada prosiding itu, Afif dan Muhammad Luqman Hakim merayu hukuman mereka diringankan kerana masih belajar manakala dua lagi tertuduh memberitahu bekerja di Pelabuhan Kuantan dengan gaji sekitar RM1,300 sebulan. 

Berdasarkan fakta kes, pergaduhan berlaku apabila seorang tertuduh menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa bapa saudara kepada bekas tunangnya dan mengajak untuk berjumpa. 

Pergaduhan itu dileraikan oleh orang awam.

Video pergaduhan itu juga tular di laman media sosial pada minggu lalu. 

Pada prosiding sama, Nor Izzati membenarkan seorang lagi tertuduh Ahmad Tarmizi Othman, 19, yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menanti sebutan semula pada 11 Julai ini. 

Ahmad Tarmizi yang tidak bekerja dan berasal dari Sungai Isap di sini, diwakili peguam Mohd Saifuldin Ab Rahman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ker Qi En.  

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel