Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cadangan tambah elaun atau insurans untuk Pengerusi MPKK


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan Selangor bercadang untuk menambah elaun atau memberikan skim perlindungan insurans kepada semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri berkenaan, tahun depan.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, cadangan itu dilihat perlu dimasukkan dalam pembentangan Bajet Selangor 2020 bagi menghargai jasa, peranan serta sumbangan 292 pengerusi MPKK yang juga ketua kampung di negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, semakan semula kadar elaun RM1,200 atau pemberian insurans tahun depan akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa exco.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 292 ketua kampung bagi sesi 2018/2020 dalam satu majlis, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, isu papan tanda kawasan di Tanjong Sepat, Kuala Langat yang masih memaparkan penggunaan dwibahasa akan dibincangkan pada mesyuarat exco, Rabu ini.

“Kita sangat jelas bahawa (penggunaan dwibahasa pada papan tanda kawasan) adalah dasar kerajaan negeri yang dibuat pada sesi 2016/2017 dan ia memberi fokus kepada kawasan majoriti kaum Tionghua.

“Kita akan lihat semula perkara itu dan akan diputuskan kemudian. Setiausaha Kerajaan Negeri juga sedang mengumpulkan maklumat berkaitan.

“Tiada masalah apa-apa sebenarnya kerana kita sentiasa menjunjung tinggi titah Tuanku Sultan (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) di samping cuba mengekalkan keharmonian kaum,” katanya.

Minggu lalu, akhbar tempatan melaporkan masih terdapat papan tanda kawasan di Tanjong Sepat menggunakan dwibahasa.

Sultan Sharafuddin pada November tahun lalu menitahkan supaya papan tanda jalan yang menggunakan bahasa Mandarin diturunkan dan digantikan dengan papan tanda menggunakan bahasa tunggal iaitu bahasa Melayu.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel