Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota geng 'Apu Boy' dan 'Usop' dicekup, polis buru ketua


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





SUNGAI SIPUT, 24 Jun (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan premis di sekitar Sungai Siput, 16 Jun lepas. 

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata  penahanan itu susulan 32 laporan kes pecah rumah dan premis yang diterima pihaknya sejak Januari lalu.

Beliau berkata polis menahan empat suspek yang merupakan 'Geng Apu Boy' dan 'Geng Usop' berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun selepas mereka baharu memecah masuk sebuah rumah di Taman Kledang di sini kira-kira 5 pagi, pada 16 Jun. 

"Bertindak atas maklumat, kami turut menahan dua lelaki pada hari yang sama selepas mereka terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah pusat mencuci kenderaan.

"Polis merampas pelbagai barangan curi antaranya sebuah kereta dan motosikal, telefon bimbit, kamera, barangan kemas, duit syiling, jam tangan, peralatan kedai mencuci kereta, tong gas, set penyaman udara dan pelbagai peralatan untuk pecah masuk dan kesemuanya dianggar bernilai RM80,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput, hari ini.

Mohd Khaizam berkata polis masih mengesan dua suspek dipercayai ketua kedua-dua kumpulan yang masih bebas dikenali sebagai  S. Ravisankar, 36, yang beralamat belakang Sekolah Shing Chung serta Mohd Jusof Halim, 27, beralamat Jalan Aman, Kampung Bahagia di sini.

Menurutnya hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kumpulan itu aktif melakukan jenayah sejak tahun lalu dan kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau, malah ada antara mereka yang telah menjalani hukuman di penjara. 

Mohd Khaizam berkata modus operandi kedua-dua kumpulan itu yang sering melakukan aktiviti tersebut pada tengah malam ialah mengumpil pintu atau tingkap premis.

Katanya semua suspek direman sehingga 28 Jun ini dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan mencuri kenderaan bermotor.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kerajaan PH akan terus laksana polisi beri manfaat pada rakyat

 
     

Seramai 70 peserta sertai Raleigh Borneo Expedition 2019

 
     

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel