Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan tidak tanggung kos kelewatan Hospital Parit Buntar


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





PARIT BUNTAR, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menangung kos kelewatan pelaksanaan projek pembinaan Hospital Parit Buntar jika ia berpunca daripada kontraktor. 

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata projek itu yang bermula pada 1 Jan tahun lepas  sepatutnya siap menjelang 28 Dis 2020, namun kini berlaku kelewatan antaranya disebabkan pelaksanaan kerja, reka bentuk, koordinasi dan pengalaman kontraktor. 

“Kita sedang dalam rundingan untuk mengetahui kelewatan itu disebabkan pihak kerajaan atau kontraktor,  dan jika berpunca dari kontraktor mereka yang akan menanggung kos.

"Memang mengikut jadual ada kelewatan 172 hari daripada segi pelaksanaan projek, sepatutnya pelaksanaan projek pembinaan 35 peratus sekarang tetapi kini masih 15 peratus," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Hospital Parit Buntar di Simpang Lima dekat sini  hari ini.

Apabila siap kelak, Hospital Parit Buntar yang berharga RM136.7 juta itu akan mempunyai 76 katil selain pelbagai kemudahan antaranya  makmal x-ray dan bilik pembedahan.

Dr Lee berkata pihaknya akan memantau projek tersebut dengan lebih rapi bersama dengan wakil rakyat setempat dan Jabatan Kerja Raya agar ia berjalan lancar selain menyelesaikan sebarang masalah yang timbul. 

“Kita harap projek ini dapat disiapkan segera  kerana hospital ia menjadi pemangkin di kawasan utara negeri ini,” katanya. 

Menurut Dr Lee hospital kluster itu akan mendapatkan perkhidmatan bantuan doktor pakar dari Hospital Taiping.

Selain itu, Dr Lee berkata dua lagi hospital akan dibina di negeri ini iaitu di Seri Iskandar dengan 76 katil dan Kampar yang masih dalam proses mengenal pasti tapak sesuai. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel