Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga penyelamat pantai APM menyabung nyawa selamatkan mangsa lemas


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





LANGKAWI, 24 Jun (Bernama) -- Tindakan pantas anggota penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi, menyabung nyawa semasa melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga pelancong warga Arab Saudi, yang lemas di Pantai Tengah, di sini petang semalam berjaya mengelak tragedi lebih buruk berlaku.

Berkongsi pengalamannya kepada Bernama, Siti Zaleha Jalaludin, 23, berkata ketika kejadian tanda amaran bendera merah telah dinaikkan berikutan keadaan ombak besar dan laut bergelora, namun tiga sekeluarga itu sedang mandi di luar kawasan yang ditetapkan di pantai tersebut.

"Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, ketiga-tiga mangsa sudah jauh dibawa arus dan ombak. Saya bersama seorang lagi anggota penyelamat dan tiga orang awam terpaksa berjalan kaki meniti lereng batu licin untuk ke lokasi mangsa pertama, yang terdampar di batu kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

"Apabila sampai kami dapati mangsa pertama iaitu Abdul Rahman, 13, kelihatan kepenatan dan seakan mahu mengalah, tetapi saya beri semangat dengan berkata 'mak kamu sedang menunggu’, terus dia pakai 'peralatan menyelamat’. Mereka kemudiannya menarik Abdul Rahman ke pantai, sebelum saya bergerak mencari mangsa kedua," katanya yang berkhidmat sejak setahun lalu.

Semalam Bernama melaporkan percutian sebuah keluarga dari Arab Saudi yang mandi di pantai tersebut, berakhir tragedi apabila Husain Musaad Alawfi, 51, mati lemas, manakala dua anak lelakinya diselamatkan anggota penyelamat pantai APM Daerah Langkawi, selain anggota APM, empat orang awam turut sama menyabung nyawa, membantu operasi tersebut.

Bagi Muhd Ilman Elias, 27, menyelamat mangsa lemas dalam keadaan laut bergelora dan ombak besar merupakan pengalaman pertamanya, sejak berkhidmat hampir sembilan tahun dan pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Sebaik dimaklumkan, saya menaiki bot amfibia dikendalikan Syed Muhammad Syakimi Syed Azali, 20, dari Menara Penyelamat Pantai Cenang kira-kira 1.8 kilometer dari tempat kejadian. Kami berjaya mengesan mangsa kedua dikenali sebagai Yasir Hussain Aloufi, 21,  ketika itu dia (Yasir Hussain) telah diselamatkan oleh seorang lelaki orang awam, dan dibawa ke kawasan tebing berbatu.

"Saya kemudian terjun berenang hampir 50 meter menuju ke lokasi tersebut dalam keadaan ombak besar dan laut bergelora, kerana bot tidak dapat rapat dengan tebing kerana kawasan berbatu dan bahaya. Saya serahkan jaket keselamatan kepada orang awam tersebut, kemudian berenang semula ke bot dan kami berpatah balik ke Menara Penyelamat Pantai Tengah untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Muhd Ilman berkata dia bersama jurumudi bot kemudian kembali semula ke lokasi mangsa kedua berada, ketika ini seorang lagi anggota penyelamat iaitu Siti Zaleha sudah berada di situ.

"Proses menyelamat sangat mencabar kerana keadaan laut bergelora dan ombak besar namun berjaya dilakukan dengan selamat, rasa amat bersyukur kami berjaya menyelamatkan dua nyawa semalam,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel