Empat lelaki dicekup, dadah bernilai RM34,000 dirampas
Tarikh kemaskini: 24/06/2019

SEREMBAN, 24 Jun (Bernama) -- Polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Seremban berikutan penangkapan empat suspek lelaki dalam dua operasi khas berasingan di sekitar Seremban dan Sentul, Kuala Lumpur, pada Sabtu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Supt Pang Jin Lai berkata dalam operasi pertama pada pukul 5 petang, polis menahan dua lelaki masing-masing berumur lingkungan 29 tahun di kawasan Negeri Sembilan Chinese Maternity Hospital (NSCMH) di sini.
“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek menemui dadah yang dipercayai jenis syabu dengan anggaran berat kasar 117 gram dengan nilai rampasan RM13,000. Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua positif methamphetamine dan mereka juga turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dengan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata berkait dengan tangkapan yang pertama, operasi kedua yang dilancarkan pada pukul 11 malam hari yang sama, dua lelaki berumur 26 dan 29 tahun diberkas di sebuah kediaman di Jalan Sentul Perdana, Sentul dan hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek dan kediaman itu telah menjumpai dadah dipercayai jenis syabu seberat 134 gram bernilai RM21,000.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua positif methamphetamine dan mereka juga turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dengan dadah,” katanya.
Pang berkata selain itu, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM940 dalam kedua-dua serbuan itu.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, beliau berkata seramai 29 lelaki diberkas dalam Op Sarang ke atas beberapa tempat penagihan dadah di negeri ini pada Rabu dan Jumaat lepas.
“Sepuluh daripadanya ditahan di kawasan Sri Menanti, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah manakala baki 19 ditahan di kawasan Felda Jelai 2, Gemas, Tampin,” katanya.
Dalam pada itu, Pang berkata jabatan itu akan membanteras penyalahgunaan dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar-pengedar dadah yang aktif di negeri ini dan kejayaan yang diperoleh adalah hasil maklumat masyarakat setempat.
-- BERNAMA
|