Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Malaysia perlu tingkat produktiviti untuk jadi negara berpendapatan tinggi - IMF


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu meningkatkan produktivitinya sekiranya ia mahu mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi dalam dekad akan datang, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa  (IMF) Christine Lagarde.   

Beliau berkata meskipun kejayaan ekonomi sejak 20 tahun lalu, produktiviti Malaysia tidak berkembang sebanyak mana seperti yang diharapkan negara. 

“Malaysia boleh menyahut cabaran ini dengan kreativiti dan meningkatkan resipi bagi mencapai kejayaan. Bagi mencapainya, anda memerlukan gabungan ramuan yang betul bagi mewujudkan pertumbuhan jangka panjang yang inklusif dan mampan,” katanya semasa sesi perbincangan khas bertajuk  ‘Ramuan bagi Tadbir Urus yang baik dan Kemakmuran Ekonomi; di Universiti Malaya, hari ini.

Lagarde menggariskan tiga ramuan utama yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia untuk menambah baik produktiviti, iaitu Meningkatkan Tadbir Urus dan Menangani Rasuah; Melabur dalam Pendidikan Berkualiti Tinggi, Meningkatkan Penyertaan Wanita dalam Tenaga Kerja.

Beliau yang memuji usaha diambil kerajaan Malaysia dalam memerangi rasuah berkata apabila rasuah diinstitusikan, ia menjejaskan keupayaan negara untuk menarik pelabur serta mewujudkan peluang pekerjaan.  

"Rasuah adalah punca utama yang menyebabkan banyaknya berlaku ketidakadilan dalam masyarakat. Itulah sebabnya IMF menumpukan kepada isu ini dan akan menerapkan usaha meningkatkan tadbir urus dalam kalangan ahli kami pada masa depan. Saya tahu, ia adalah fokus kerajaan Malaysia seperti yang termaktub dalam manifesto pilihan raya mereka. 

"Ini suatu kemajuan yang baik. Seperti biasa, kuncinya adalah meneruskan usaha ini menerusi pengubahsuaian perubahan ini dalam undang-undang dan melaksanakan setiap langkah agenda pembaharuan,” katanya sambil menambah IMF bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi memerangi rasuah.  

Mengenai ramuan kedua, Lagarde berkata meskipun sumber dilabur dalam pendidikan telah bertambah baik sejak 20 tahun yang lepas di negara ini, hasilnya masih belum direalisasikan sepenuhnya. 

Perbezaan sosio ekonomi dan wilayah terus berlaku di negara ini dan bagi kumpulan tertentu, terutamanya orang dewasa yang kurang berkemahiran, automasi mengancam pekerjaan mereka, katanya. 

"Pelaburan dalam pendidikan berkualiti tinggi boleh mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran, meningkatkan gaji, dan membantu rakyat Malaysia memanfaatkan potensi teknologi baharu,” katanya.

Ramuan terakhir adalah memperkasakan wanita dan ketika ini, wanita Malaysia kurang menyertai pasaran buruh dan kurang peluang kerjaya berbanding wanita di negara-negara jiran mereka, katanya sambil menambah wanita Malaysia memperoleh kira-kira satu pertiga kurang berbanding lelaki secara puratanya dan data itu menunjukkan jurang ini adalah disebabkan terutamanya diskriminiasi di tempat kerja. 

"Bagaimanapun telah ada kemajuan. Jumlah wanita membuka akaun bank di Malaysia kini mengatasi kenaikan di negara-negara ASEAN lain. Sejak krisis kewangan global, pekerjaan wanita telah berkembang pantas berbanding pekerjaan lelaki,” katanya.

Beliau berkata kerajaan baharu telah membuka jalan bagi memperkasakan wanita dengan melantik lima menteri wanita, empat timbalan menteri wanita dan timbalan perdana menteri wanita pertama dalam sejarah negara.

Lagarde berkata kaji selidik baru-baru ini menunjukkan 80 peratus wanita berminat dalam pengaturan kerja fleksibel, tetapi hanya 20 peratus yang pernah melaksanakannya.

"Satu lagi kaji selidik menunjukkan hampir 60 peratus ibu yang bekerja tidak dapat melaksanakan kerja mereka dari rumah.

"(Bagaimanapun) kerajaan mendengar keluhan rakyat. Undang-undang baharu telah dilaksanakan bagi melindungi pekerjaan wanita ketika mereka bercuti bersalin dan menghapuskan diskriminasi jantina di tempat kerja. 

"Belanjawan kerajaan baru-baru ini menerapkan langkah-langkah untuk meningkatkan cuti keluarga berbayar dan mandat yang mana-mana syarikat berkaitan kerajaan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita dalam lembaga pengarah. Sejujurnya, saya fikir ia sepatutnya 50 peratus, tetapi ini satu permulaan yang baik,” katanya. 

 IMF, katanya, percaya sekiranya usaha-usahanya ini dilaksanakan bersama-sama boleh meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada lebih 56 peratus menjelang 2020.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel