Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cukai perniagaan digital akan wujud suasana perniagaan lebih adil - Pertunas


Tarikh kemaskini: 24/06/2019




KUALA TERENGGANU, 24 Jun (Bernama) -- Persatuan Tunas Usahawan Nasional (Pertunas) menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengenakan cukai perniagaan dalam talian.

Presiden Pertunas, Amir Hakimin Che Razali berkata ia adalah langkah tepat bagi memastikan persekitaran ekonomi yang lebih adil dan memupuk persaingan sihat antara syarikat antarabangsa dengan syarikat digital tempatan.

Sebelum ini syarikat gergasi luar yang menyediakan perkhidmatan digital yang bertaraf gergasi dunia dan meraih pendapatan berbilion ringgit sering mengelak membayar cukai di Malaysia dengan alasan mereka tidak wujud secara fizikal di negara ini.

"Namun, secara digitalnya, syarikat ini beroperasi di Malaysia dan sewajarnya mereka juga dikenakan cukai. Tetapi, syarikat ini mengumumkan mengenai keuntungan di negara asal dan menyebabkan Malaysia kehilangan jutaan ringgit potensi hasil cukai.

"Pada masa sama, peniaga digital tempatan yang bersaing dalam industri yang sama terpaksa membayar cukai apabila jumlah keuntungan sudah melebihi RM500,000 setahun. Cadangan ini dilihat kena pada masanya dan adil kepada pembayar cukai yang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saranan itu disuarakan Perdana Menteri ketika sesi pleno Sidang Kemuncak Asean Ke-34 di Bangkok, Thailand pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Amir Hakimin berkata mengenai bebanan tambahan kos yang perlu ditanggung pengguna selepas pelaksanaan cukai itu nanti, syarikat perkhidmatan digital gergasi luar negara mempunyai pilihan sama ada mahu melepaskan kos ini kepada pelanggan menerusi kenaikan harga atau mengekalkan harga dan menyerap cukai itu. 

Cukai itu tidak akan memberi kesan kepada pembelian barang dalam talian kerana ia sudah pun tertakluk kepada cukai jualan dan duti import.

"Namun begitu, mekanisme pelaksanaan Cukai Digital ini perlu diperhalusi oleh kerajaan sebaiknya bagi memastikan cukai yang bakal diperkenalkan nanti tidak membebankan. 

"Siri perundingan dan perbincangan dengan pihak berkepentingan perlu dibuat secara berterusan memandangkan ia satu pendekatan baharu oleh kerajaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel