Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PDRM perangi judi, 14,759 orang ditahan


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Polis mempertingkatkan langkah memerangi kegiatan judi di seluruh negara apabila menahan 14,759 individu dan merampas wang tunai RM3.8 juta serta 10,361 peralatan perjudian dalam operasi sejak awal tahun ini.

Sebanyak 8,775 serbuan dilakukan ke lubuk-lubuk perjudian yang dikenal pasti dalam tempoh 1 Jan hingga 22 Jun lepas dan bagi mengekang sepenuhnya aktiviti itu, sebanyak 92 penganjur perjudian ditahan dalam tempoh itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata sebanyak 160 sindiket perjudian dipercayai aktif dikesan di empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

“Hasil pemantauan kami mendapati kegiatan judi yang paling tinggi melibatkan loteri awam dengan 120 sindiket dikesan melakukan kegiatan itu.

“Selain itu, sebanyak 37 sindiket dipercayai terlibat judi dalam talian,” katanya pada sidang akhbar khas JSJ di Bukit Aman, di sini hari ini.

Huzir berkata dalam operasi itu polis juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik dan penyewa premis yang bertanggungjawab mengubahsuai premis mereka untuk dijadikan tempat perjudian.

“Mana-mana individu yang didapati terlibat, kami akan ambil tindakan mengikut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Beliau berkata polis dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan melakukan pemotongan utiliti dan sekatan laman web.

Polis akan meminta SKMM untuk menyekat 1,270 laman web yang dikesan mempromosi aktivti perjudian, katanya.

Huzir berkata kerjasama dengan pihak Telco seperti Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, Umobile, Digi juga akan dipergiat untuk memerangi kegiatan judi yang dijalankan secara mudah alih iaitu menggunakan kemudahan SMS untuk tujuan promosi.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinasihat untuk membatalkan premis perniagaan yang disalah gunakan oleh individu bagi tujuan perjudian seperti menjual loteri awam tanpa lesen.

“Pada masa ini, PBT di Kontinjen Johor telah memberi kerjasama yang baik dengan 10 premis telah dibatalkan lesen perniagaan iaitu lima di Johor Bahru Selatan, dua di Mersing dan tiga di Kluang,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel