Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

KPM, Yayasan Pesona asah bakat pelajar dalam pelbagai bidang


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





BATU PAHAT, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalin kerjasama dengan Yayasan Pesona bagi mengasah bakat dan kemampuan golongan pelajar dalam pelbagai bidang, yang bertujuan mendepani serta memperkasa Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21).

Pengasas Yayasan Pesona yang juga artis terkenal tanah air, Datuk Aznil Nawawi berkata, melalui program yang dikenali sebagai Bengkel Speaking Nation itu ia menggabungkan beberapa elemen dalam kalangan pelajar.

Katanya, ia termasuklah elemen berkomunikasi dengan baik, kreatif, mampu membuat analisa, berfikir secara spontan, kerjasama dalam kumpulan dan beretika murni serta mampu mengekalkan kesopanan.

“Walaupun program ini mengutamakan sikap berani ke hadapan bagi setiap pelajar dengan memberikan pendedahan untuk mereka mampu menyuarakan pendapat dalam skala besar tetapi masih mempunyai adab ketimuran.

“Hasilnya pelajar yang telah mengikuti program ini akan mempunyai sikap ‘Berketerampilan Kelas 1’ dan mempunyai ‘faktor WOW’ serta ‘Pesona’ yang tinggi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Speaking Nation yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng, di sini, yang turut dihadiri oleh Pegawai PAK21, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat, Mohd Nazri Samad.

Menurut Aznil, setelah kejayaan penganjuran pertama program berkenaan di Pulau Pinang pada Mac lalu, kini Johor menjadi lokasi kedua dengan menyaksikan penglibatan 13 sekolah harian dengan 140 pelajar serta 14 guru.

Kata beliau, selepas ini ia akan bergerak ke setiap negeri dan dalam rangka seterusnya ia akan menyasarkan penglibatan pelajar di peringkat sekolah rendah pula, dengan memberikan pendedahan kepentingan komunikasi bagi PAK21 ini.

“Bagi PAK21 ini, para pelajar seharusnya didedahkan dengan pemikiran di luar kotak kebiasaannya, diselang-selikan dengan aktiviti menghiburkan agar mereka tidak bosan untuk menuntut ilmu berbanding dengan kaedah tradisional yang menghadap buku samata-mata.

“Untuk pelajar, selepas ini diharapkan mereka akan dapat melihat positifnya program ini dengan mempunyai daya saing yang tinggi, manakala bagi guru pula dapat menerapkan kaedah pengajaran dengan interaksi yang lebih mesra serta tidak terlalu formal,” katanya.

Seorang peserta program, Nurul Atikah Mohd Saat, 16, menganggap program itu merupakan nilai tambah kepada ilmu yang dia miliki, yang tidak diperoleh di kelas dengan menitikberatkan kepentingan komunikasi.

“Pada waktu kini menjadi pelajar pintar dan berkebolehan tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran di dalam kelas semata-mata, namun komunikasi yang baik dengan pelbagai pihak sangat penting termasuklah rajin bertanya,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel