Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rokok seludup bernilai RM1.83 juta dirampas di tumpat - JKDM


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





TUMPAT, 24 Jun (Bernama) -- Sejumlah 15,000 karton rokok jenama John bernilai RM1.83 juta termasuk cukai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua serbuan berasingan di dua pangkalan haram, di sini, Jumaat lepas.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rampasan rokok kali ini adalah yang terbesar  tahun ini.

Beliau berkata kesemua rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan selain kemungkinan akan dihantar ke Terengganu berikutan jumlahnya yang banyak.

"Pasukan Marin JKDM Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor mengesan dua buah bot pancung yang sedang menuju ke Kuala Besar, Kota Bharu.

Pasukan telah mengejar kedua-dua bot terbabit lebih kurang 15 minit sebelum menahan sebuah daripada bot itu di hadapan jeti Pulau Beluru, di sini. Bagaimanapun, dua lelaki telah berjaya melepaskan diri," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pejabat JKDM Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Mohd Rakbi berkata hasil pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tidak bernombor itu anggota kastam menemui ratusan kotak putih berjenama John.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ada 8,000 karton rokok mengandungi 1.6 juta batang rokok. Nilai keseluruhan rokok itu dianggarkan sebanyak RM128,000 dengan anggaran cukai bernilai RM850,560.

Kesemua barang rampasan termasuk bot  bernilai RM50,000 dibawa balik ke pejabat. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada pada jam 8 pagi di tebing Pulau Tongkang, Mohd Rakbi berkata, pihak penguatkuasa menemui 7,000 karton rokok juga dari jenama John di bawah kanvas biru dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita percaya kotak mengandungi rokok terbabit adalah daripada bot yang terlepas ketika dikejar pasukan marin JKDM pada pukul 5 pagi sebelum itu.

Semua rokok terbabit dipercayai bernilai RM112,000 dengan taksiran cukai sebanyak RM744,240. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) akta yang sama," katanya.

Mohd Rakbi berkata JKDM Kelantan akan meneruskan operasi seumpama itu pada masa akan datang bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di negeri ini.

Sehubungan itu katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan serta premis perniagaan yang menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup atau lain-lain barangan seludup dimohon untuk melaporkannya kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855 atau 09-7411100.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel