Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

EGM disegerakan satu keputusan tepat- PBJ


Tarikh kemaskini: 24/06/2019




KOTA BHARU, 24 Jun (Bernama) -- Tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyegerakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) bagi pemilihan presiden dan barisan exco baharu satu keputusan tepat, bagi mengelakkan persatuan itu terus dibelenggu pelbagai masalah bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah Kamarudin Mohamad berkata EGM tidak harus dilambat-lambatkan selepas presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan letak jawatan, kerana pasukan Kelantan yang beraksi di Liga Premier akan menghadapi empat baki perlawanan.

"Kami memuji tindakan KAFA mempercepatkan EGM, jika tidak tiada siapa yang mengambil tanggungjawab mengurus persatuan dan pasukan.

"Satu keputusan pantas dilakukan demi menyelamatkan KAFA dan pasukan terus ditambah dengan pelbagai masalah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini  KAFA memutuskan EGM akan diadakan pada 6 Julai ini bagi memenuhi hasrat ahli gabungan persatuan itu untuk memilih presiden dan barisan exco yang baharu, bagi menggantikan presiden sebelum ini yang meletak jawatan selepas hampir dua musim bersama persatuan terbabit.

Kamarudin berkata susulan itu pihaknya akan menghantar pencalonan sebelum 30 Jun hadapan untuk dipertandingkan pada EGM kali ini.

"Kami sudah mempunyai seorang calon untuk diangkat pada EGM kali ini, yang telah mendapat kepercayaan beberapa PBJ-PBJ.

"Kami harap calon itu dan calon-calon lain yang dipilih menjadi presiden, dapat membawa perubahan walaupun bukan drastik," katanya.

Katanya pihaknya turut memuji beberapa individu yang tampil untuk menawarkan diri bagi mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Bibi Ramjani.

Sebelum ini media melaporkan setakat ini dua individu sudah menyatakan minat menawarkan diri sebagai Presiden KAFA iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dan ushawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel