Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat pelajar raih emas dalam pertandingan reka cipta antarabangsa


Tarikh kemaskini: 24/06/2019




GEORGE TOWN, 24 Jun (Bernama) -- Kulit limau mandarin dan tempurung kelapa yang diolah semula menjadi penapis air, pemutih gigi dan uncang penghilang bau membolehkan empat pelajar dari SJK(T) Ladang Prye memenangi pingat emas antarabangsa pertama mereka dalam Pameran Reka Cipta dan Sains Antarabangsa (ISIF) 2019.

ISIF 2019 berlangsung di Bali, Indonesia, dari 21 hingga 26 Jun lepas. Keempat-empat pelajar tahun enam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi ini dan disambut oleh guru serta anggota keluarga, yang turut menghadiahkan mereka dengan jambangan dan kalungan bunga.

Seorang daripada pelajar itu, Harrish Raj Shanker, berkata rekaan mereka diilhamkan daripada tempurung kelapa dan sejumlah besar kulit limau mandarin yang dibuang semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Harrish berkata inspirasi bagi projek itu berkisar tentang langkah untuk mengurangkan bahan buangan alam sekitar dan memberi tumpuan kepada amalan 3R, iaitu mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula.

“Kami mengambil masa sebulan untuk menghasilkan semua projek ini, dan kami mendapat bantuan daripada guru, malah pekerja pembersihan sekolah turut membantu,” katanya kepada pemberita di sini.

Harrish turut merakamkan penghargaan kepada rakan sepasukannya, Harchana Changaiah, Siti Zumaidah Abdul Rahman dan Theva Tharsini Seekan, yang memberi sumbangan kepada projek itu.

Sementara itu, guru sains mereka, N Pugeneswari berkata pelajar berkenaan turut mengemukakan projek sekolah mereka bagi edisi ketiga Ekspo Teknologi dan Reka Cipta SIRIM (Si2TE), yang berlangsung pada April tahun ini di Kedah.

Pugeneswari berkata pada masa itu, mereka hanya menghasilkan pemutih gigi dan uncang penghilang bau bagi Si2TE, dan kedua-dua projek itu membolehkan mereka membawa pulang pingat emas.

“Hanya apabila menyertai  ISIF barulah pelajar ini mencipta sistem penapis air,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel