Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sindiket judi dalam talian kaut RM240,000 sehari tumpas


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





GEORGE TOWN, 24 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket judi dalam talian yang berpangkalan di Indonesia dan mengaut keuntungan sehingga RM240,000 sehari selepas menyerbu empat kondominium mewah di sekitar Sungai Ara dan Bayan Lepas, dekat sini.

Ketua Polis negeri Datuk T. Narenasagaran hari ini berkata serbuan itu dijalankan bermula pukul 10 malam hari Jumaat hingga 12 tengah hari Sabtu ke atas empat kondominium berkenaan dan menahan 16 warga Indonesia termasuk lima wanita berumur 19 hingga 47 tahun. 

"Seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 40-an merupakan dalang utama sindiket perjudian berkenaan dan pemeriksaan mendapati sindiket terbabit menjadikan rumah-rumah mewah tersebut sebagai pusat khidmat panggilan berpusat untuk aktiviti perjudian berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya semua warga Indonesia yang ditahan itu merupakan operator atau pembantu di pusat khidmat panggilan berkenaan dan mereka bekerja selama 12 jam sehari mengikut syif yang mana empat pekerja akan bekerja dalam satu syif.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pekerja asing yang bekerja di situ maklum mereka dibawa ke Pulau Pinang untuk bekerja dengan sindiket judi dalam talian berkenaan dan difahamkan mereka ditawarkan gaji lumayan.

Narenasagaran berkata kegiatan perjudian dalam talian itu menyasarkan pelanggan di Indonesia dan siasatan mendapati bagi melicinkan aktiviti perjudian berkenaan, sindiket tersebut telah mewujudkan satu laman web khas yang mana perisian itu telah dibeli dari Kemboja.

"Sindiket ini telah beroperasi dalam tempoh tiga bulan hingga setahun lepas dan mereka beroperasi di kondominium yang disewa dengan menawarkan pertaruhan bermula dengan 1,000 rupiah hingga 20 juta rupiah dalam masa 24 jam sehari tanpa henti," katanya.

Beliau berkata sindiket itu mampu mengaut keuntungan sehingga RM60,000 sehari bagi setiap premis iaitu kira-kira RM240,000 sehari bagi empat buah kondominium berkenaan.

Katanya pekerja di pusat khidmat panggilan berpusat itu memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan menghantar mesej menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) serta aplikasi WhatsApp dan juga Wechat yang dihantar secara rawak kepada pelanggan di Indonesia.

"Pusat khidmat berpusat itu juga berperanan untuk menguruskan setiap transaksi keluar dan masuk wang secara dalam talian bagi aktiviti perjudian dengan menggunakan bank dari Indonesia.

“Aktiviti perjudian pertaruhan yang dianjurkan oleh sindiket ini terdiri daripada jenis poker, judi bola sepak antarabangsa, loteri 4D (dalam dan luar Indonesia) serta lain-lain," katanya.

Katanya susulan serbuan di empat premis itu, polis merampas 26 komputer, 29 telefon bimbit, 27 token perbankan dalam talian serta sebuah komputer riba yang digunakan untuk kegiatan berkenaan.

"Pemeriksaan juga mendapati ada dalam kalangan pekerja Indonesia itu telah tinggal lebih masa, tiada permit kerja dan menyalahgunakan pas lawatan sosial. Mereka kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1960," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel