Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Senarai calon Pesuruhjaya Suhakam telah diserah kepada Perdana Menteri


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Senarai nama calon Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad seminggu lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

"Senarai nama calon itu diserahkan kepada perdana menteri untuk beliau membuat pengumuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Dialog Peringkat Tinggi Kebangsaan Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia hari ini.

Sejak 16 Jun, Suhakam "lumpuh" kerana kerajaan belum melantik pengerusi baharu dan para pesuruhjayanya.

Suhakam sebelum ini dipengerusikan oleh Tan Sri Razali Ismail yang telah meletak jawatan pada 16 April, hampir dua minggu sebelum tempoh pelantikannya tamat pada 27 April.

Pada 25 April, tujuh pesuruhjaya juga menamatkan penggal perkhidmatan tiga tahun mereka. Mereka ialah Datuk Lok Yim Pheng, Datuk Mah Weng Kwai, Prof Datuk Dr Aishah Bidin, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Francis Johen Adam, Datuk Godfrey Gregory Joitol dan Jerald Joseph.

Penggal pelantikan seseorang pesuruhjaya adalah tiga tahun. Kali terakhir pelantikan dibuat ialah pada Julai 2016 dan dikebelakangkan kepada April tahun yang sama.

Liew berkata Kabinet pada 20 Jun telah melulus dan mempersetujui cadangan supaya 'Hak Asasi Manusia' diletak di bawah portfolio beliau dan akan dibantu oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri.

"Saya berharap perkembangan terbaru ini akan membuka laluan menuju ke depan yang penting dan positif dalam tadbir urus hak asasi manusia di Malaysia,” kata beliau.

Mengenai dialog berkenaan, Liew berkata ia melibatkan pertukaran pandangan mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, selain wawasan kerajaan berhubung perkembangan Pelan Tindakan Negara Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAP-BHR).

"Kerajaan komited hendak memastikan bahawa perniagaan dan projek-projek pembangunan dilaksanakan mengikut jangkaan pasaran global mengenai tadbir urus yang baik, integriti, akauntabiliti dan ketelusan, selain penghormatan korporat terhadap hak asasi manusia," kata beliau.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel