e7_FSSsokNQ Insiden sesak nafas: lapan lagi sekolah terjejas
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Insiden sesak nafas: lapan lagi sekolah terjejas


Tarikh kemaskini: 24/06/2019





JOHOR BAHRU, 24 Jun (Bernama) -- Pelajar di lapan buah sekolah di Pasir Gudang, di sini, dipercayai turut mengalami insiden muntah dan sesak nafas, awal pagi tadi.

Antara sekolah-sekolah yang dipercayai terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, SK Pasir Putih 1, SK Pasir Gudang 2, SK Taman Pasir Putih 1, SMK Taman Megah Ria, SK Taman Rinting 2 dan SMK Bandar Seri Alam.

Tinjauan Bernama mendapati sekurang-kurangnya sembilan ambulans antaranya dari Hospital Sultan Ismail dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikejarkan ke sekolah-sekolah berkenaan, dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Sehingga kini, tiada pengesahan berapa jumlah pelajar yang terlibat namun difahamkan insiden berlaku ketika pembelajaran sesi pagi berlangsung dan pada waktu rehat.

Mangsa-mangsa pula kini, sebahagiannya sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) untuk diberi rawatan awal. 

Stadium itu sebelum ini dijadikan oleh pihak berkuat kuasa sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit.

Sementara itu, usaha wartawan Bernama untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana dilarang untuk memberi sebarang kenyataan.

Di Stadium MPPG pula, keadaan dilihat terkawal dengan ibu bapa dan penjaga menunggu dengan sabar status keadaan anak-anak mereka yang dirawat di situ.

Terdapat beberapa agensi ditempatkan di stadium itu bagi membantu mangsa-mangsa di kawasan ‘hot area’ bagi mendapatkan rawatan awal.

Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pegawai-pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan dan badan-badan bukan kerajaan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel