Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Gelongsor air terpanjang dunia dibuka Ogos ini


Tarikh kemaskini: 23/06/2019




GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.140 kilometer (km) di taman tema Escape Pulau Pinang  di Teluk Bahang di sini akan dibuka kepada orang ramai pada Ogos ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sim Choo Kheng.

Beliau berkata gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu dijangka siap pada fasa ketiga 'Gravity Play’, hujung bulan depan dan akan mengatasi rekod dunia 0.602km milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.

Menurutnya, gelongsor itu yang dibina di kawasan bukit menghubungkan taman permainan ‘Adventure Play’ dan ‘Water Play’ dan wakil daripada Guiness World Records akan hadir untuk meneliti kelengkapannya sebelum memberi pengiktirafan dunia.

“Cabaran terbesar dalam proses pembinaan adalah untuk mengelak menumbang pokok di sekeliling kawasan bukit bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar di kawasan tersebut,” katanya pemberita ketika lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Warisan, Budaya dan Seni Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin, ke taman tema berkenaan, hari ini.

Sim berkata pelaburan dalam fasa ketiga "Gravity Play" telah menelan kos sebanyak RM10.6 juta termasuk pembinaan satu laluan kereta kabel untuk membawa pengunjung ke puncak bukit.

"Kereta kabel terbabit akan menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air terpanjang itu dan kereta kabel berkenaan amat unik berikutan ia akan melalui kawasan hutan," katanya.

Beliau berharap Escape akan menjadi pusat tarikan pelancong dalam usaha memajukan industri pelancongan dan memberi banyak manfaat kepada semua golongan masyarakat di Teluk Bahang.

Setakat ini, Escape Pulau Pinang mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuk meneroka terowong, memanjat pokok, "flying fox' dan 'kite flyers' di "Adventureplay" dan "water slide", "lazy river", "speed racer" dan "waveball" di ‘Waterplay’.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel