Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis belum terima laporan kes buli pelajar sekolah


Tarikh kemaskini: 23/06/2019





KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Polis Terengganu belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan kes buli membabitkan dua pelajar sekolah menengah di negeri berkenaan, yang klip video perbuatan itu menjadi tular di media sosial sejak pagi ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail bagaimanapun berkata insiden itu dalam makluman polis dan dipercayai berpunca daripada insiden ejek mengejek yang berakhir dengan kejadian buli, membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Empat di sebuah sekolah menengah di Setiu, pagi semalam.

Beliau berkata difahamkan pihak sekolah sedang berunding dengan ibu bapa kedua-dua pelajar berkenaan untuk mencari penyelesaian tanpa melibatkan polis, dan menurutnya polis memang memandang serius perkara ini.

“Kami nasihatkan semua pihak termasuk ibu bapa dan sekolah supaya memainkan peranan masing-masing bagi mencegah kejadian seumpama ini daripada berlaku," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.

Sejak pagi tadi, tular di media sosial mengenai satu video berdurasi 14 saat yang memaparkan seorang pelajar lelaki menumbuk dan menendang seorang pelajar dalam sebuah kelas sambil diperhatikan beberapa pelajar lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata beliau masih menunggu laporan penuh daripada sekolah terbabit dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu berkaitan kejadian itu.

"Saya dimaklumkan kejadian itu berlaku pada waktu rehat melibatkan pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Dua,” katanya ketika dihubungi Bernama.

"Saya sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Setiu dan pengurusan sekolah terbabit mengambil tindakan berhubung perkara ini dan melaporkan segera kepada JPNT," tambahnya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel