Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki ditahan jual arak seludup


Tarikh kemaskini: 23/06/2019





BUKIT MERTAJAM, 23 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan kerana menjual pelbagai jenis arak seludup dengan harga murah di depan sebuah premis perniagaan di Taman Nagasari, Perai di sini dalam operasi methanol semalam.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata lelaki berumur 69 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam tadi ketika sedang berniaga di depan premis perniagaan yang tidak beroperasi itu.

"Pihak kami menjalankan risikan dan intipan sejak dua minggu lepas selepas menerima beberapa laporan berhubung kejadian enam lelaki termasuk dua warga tempatan mati disebabkan keracunan arak mengandungi methanol.

"Ekoran intipan dan operasi yang dijalankan itu, pihak kami berjaya menahan warga emas yang merupakan bekas pengawal keselamatan di depan sebuah premis perniagaan tidak beroperasi. Lelaki itu hanya membuka meja untuk menjual arak dengan harga murah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati arak yang dijual lelaki itu dipercayai diseludup kerana tidak mempunyai permit daripada pihak kastam dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut. 

Mohd Wazir berkata berdasarkan siasatan, lelaki itu berniaga di situ dari pukul 6.30 petang hingga 7 malam sahaja setiap hari sejak empat bulan lepas.

Beliau berkata kebanyakan pelanggan lelaki itu adalah warga asing kerana arak itu dijual pada harga murah iaitu kira-kira 50 peratus daripada harga pasaran malah ada yang dijual hanya RM5 satu botol.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan dari mana lelaki itu mendapatkan bekalan arak berkenaan. Dia turut mengaku tahu menjual arak tersebut sebagai salah kerana minuman keras berkenaan diseludup," katanya.

Beliau berkata pihaknya menghantar tiga sampel minuman keras berkenaan untuk ujian makmal bagi memastikan sama ada ia mengandungi campuran methanol atau tidak.

Dalam operasi methanol semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang memeriksa 15 premis yang menjalankan jual beli arak seludup dan turut merampas 77 tin serta 14 botol pelbagai jenis arak bernilai RM890. 

Sebanyak lima notis bernilai RM12,000 turut dikeluarkan dalam operasi itu.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel