Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bakal haji diingatkan supaya saling bekerjasama


Tarikh kemaskini: 23/06/2019





NILAI, 23 Jun (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini, mengingatkan bakal haji untuk saling berganding bahu, bantu membantu dan hormat menghormati antara satu sama lain, ketika mengerjakan ibadah haji nanti.

Katanya elakkan daripada bertengkar, bergaduh dan melakukan perkara yang boleh menimbulkan kekecohan, supaya ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar.

"Sepanjang berada di Tanah Suci saya menyeru kepada bakal haji, untuk membina sikap kendiri iaitu keupayaan mengendalikan diri sendiri. Saya juga berharap bakal haji, terus mengekalkan disiplin diri, dan menjaga nama baik negeri ini dan Malaysia. Saya harap bakal haji menumpukan perhatian kepada ibadah di Tanah Suci.

"Haji adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan tentang ibadat haji yang jelas. Justeru, saya ingin menasihati bakal haji, mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya," katanya pada majlis perasmian penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan 2019, di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr. Razali Ab Malik, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Zulkefly Mohamad Omar, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad, Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Staf Lembaga Tabung Haji Hizamuddin Jamalluddin serta Naib Canselor Usim Prof Datuk Dr. Musa Ahmad.

Aminuddin berkata tanamkanlah rasa kesyukuran dalam diri dan sentiasa mendidik diri untuk bersabar atas segala kepayahan, serta ketidakselesaan yang bakal dilalui.

"Kenang semula sejarah haji dahulu yang lebih sukar dan semoga ia menjadikan bakal haji lebih insaf, dan bersyukur. Sepanjang berada di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga, untuk melaksanakan amal ibadah agar beroleh haji yang mabrur.

"Elakkan membuang masa dengan melakukan perkara tidak bermanfaat, seperti berbual kosong, membeli-belah dan bermain gajet, kerana peluang berada di Tanah Suci bukan mudah diperolehi," katanya.

Seramai 1,200 orang bakal haji terpilih untuk mengikuti Kursus Perdana Haji 2019 bagi Negeri Sembilan.

Kursus dua hari itu adalah kursus terakhir anjuran Tabung Haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus haji.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

LZS akan terus beri kerjasama kepada SPRM dalam siasatan libatkan dana LZS dan RTM

 
     

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel