Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Hanya empat Orang Asli masih dirawat di Hospital Hulu Terengganu


Tarikh kemaskini: 22/06/2019




KUALA TERENGGANU, 22 Jun (Bernama) -- Hanya empat daripada 13 pesakit Orang Asli masih dirawat di Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang ketika ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Jusoh. 

Beliau berkata empat pesakit itu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur dalam lingkungan 26 hingga 40 tahun.

"Tiga daripada mereka disahkan positif measles (campak) manakala seorang lagi masih menunggu keputusan makmal. Kesemua mereka kini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Sembilan lagi pesakit telah dibenarkan pulang Khamis lepas dengan tujuh daripada mereka sebelum ini positif demam campak manakala dua lagi pesakit adalah negatif.

"Sebelum dibenarkan pulang, tiga daripada mereka telah diberi suntikan vaksin manakala dua pesakit pula iaitu bayi berusia 10 bulan dan kanak-kanak berusia 4 tahun telah diberi vitamin A kerana hasil pemeriksaan mendapati berat badan mengikut umur kedua-dua mereka lebih rendah daripada yang sepatutnya," kata beliau. 

Daripada 13 orang itu, sebanyak sembilan orang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang di Kelantan, tiga dari Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu dan seorang lagi dari Jerantut, Pahang.

Pada 12 Jun lepas, sembilan pesakit Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, dimasukkan ke hospital itu setelah mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan.

Kemudian, pada 14 Jun seorang lagi pesakit Orang Asli dari Kampung Sungai Berua pula dimasukkan ke hospital itu dan diikuti seorang pesakit dari Jerantut pada 16 Jun.

Pada 17 Jun pula, seorang lagi pesakit dari Sungai Berua dimasukkan ke hospital dan kemasukan terakhir adalah pada Khamis lepas, juga pesakit dari kampung yang sama.

Dr Mohd berkata semua Orang Asli yang ditemui sama ada di hospital atau di perkampungan mereka telah dinasihatkan supaya mendapat rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat (Klinik Tambahan Sungai Berua, Klinik Kesihatan Tengkawang dan Hospital Hulu Terengganu) jika mengalami gejala itu.

Terengganu mempunyai empat perkampungan Orang Asli di tiga daerah iaitu dua di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman.

Sejak bulan lepas, 14 Orang Asli daripada suku kaum Batek dipercayai telah meninggal dunia dengan punca kematian mereka masih menjadi tanda tanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel