Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

UMNO diminta berlapang dada beri ruang PAS jadi ketua - perwakilan


Tarikh kemaskini: 22/06/2019





KUANTAN, 22 Jun (Bernama) -- Perwakilan PAS Terengganu meminta UMNO supaya berjiwa besar dan berlapang dada untuk memberi ruang kepada PAS mengetuai kerjasama politik parti pembangkang.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong berkata amat penting bagi PAS memimpin kerjasama itu berdasarkan pengalaman pahit yang dilalui parti berkenaan termasuk 'diceraikan tanpa talak' oleh parti Perikatan sebelum ini.

"PAS mesti memimpin dan bukan dipimpin," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini, hari ini.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak akan menuntut untuk mengetuai kerjasama politik dengan UMNO melainkan terdapat desakan daripada akar umbi.

Sulaiman berkata PAS komited dan konsisten dalam agenda Islam dan penyatuan ummah yang turut menjadi faktor untuk parti itu mengetuai kerjasama politik berkenaan. 

Dalam pada itu, wakil Kelantan yang juga Anggota Parlimen Tumpat Datuk Che Abdullah Mat Nawi membayangkan parti pembangkang tidak akan mampu menguasai Putrajaya sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya menunaikan janji-janji manifesto, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Beliau berkata pembangkang kini sering membangkitkan isu manifesto yang tidak tertunai dan berasa selesa bahawa kerajaan PH tidak akan bertahan lama.

"Apa kata kalau mereka selesaikan masalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, tol, kenaikan harga barang, kemudian mereka isytihar PRU, maka kita akan terperangkap dalam suasana tidak bersedia," katanya sambil meminta anggota PAS untuk bekerja keras mendapatkan sokongan rakyat.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel