Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Cendawan boleh jadi produk kosmetik


Tarikh kemaskini: 22/06/2019




KOTA BHARU, 22 Jun (Bernama) -- Produk cendawan dilihat berpotensi untuk dijadikan bahan dalam kosmetik kerana mengandungi antipenuaan dan antioksidan yang tinggi, kata Presiden Persatuan Penyelidikan Cendawan Malaysia Dr Azhar Mohamad.

Beliau berkata antara bahan kosmetik yang paling sesuai dihasilkan daripada cendawan adalah untuk menegang dan menghaluskan kulit.

"Komponen antipenuaan yang ada dalam cendawan untuk dijadikan dengan mekap paling ringkas adalah dengan mengambil cendawan dan keringkannya, kisar halus serta campur dengan tepung jagung atau tepung beras pulut untuk mudah lekat pada muka," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan ke-9 Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Berhad (KOKULAC) di Dewan Kokulac @ Mega Mushroom Farm di sini, hari ini.

Dr Azhar yang juga Ketua Projek Cendawan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) berkata kandungan antioksidan yang tinggi dalam cendawan juga adalah bahan yang amat dicari-cari dalam industri kecantikan.

“Pengambilan cendawan secara berterusan sebagai pemakanan membantu pengaktifan kolagen dalam tubuh sekali gus memberi kesan antipenuaan.

"Cendawan juga mempunyai bahan polisakarida dan antioksidan untuk membuang radikal bebas dalam tubuh sekali gus meningkatkan imunisasi, selain mengandungi kandungan serat yang ada boleh membantu sistem pelawasan," katanya.

Azhar turut mencadangkan penubuhan sebuah badan berkanun khusus yang bertanggungjawab untuk memantau industri penanaman cendawan.

"Kita boleh namakan ia sebagai Lembaga Cendawan Negara sebagai satu galakan penanaman cendawan sama seperti badan berkanun lain termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Lembaga Koko Malaysia dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN)," katanya.

Katanya penubuhan badan berkanun tersebut dapat memberi galakan kepada petani untuk menanam cendawan sekali gus menjana pendapatan kepada mereka.

"Sehingga kini cendawan sudah diiktiraf sebagai komoditi tetapi belum ada satu badan yang dapat mengawal selia terutama daripada segi pengeluaran.

"Pada masa ini juga, kebanyakan penanam cendawan melakukannya secara kecil-kecilan dan hobi untuk menjana pendapatan bermula dari peringkat penghasilan benih sehingga ke produk hiliran berasaskan cendawan seperti murtabak, popia dan karipap," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel