JZU_FsXANWs Penggunaan racun serangga di Cameron Highlands masih tinggi
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penggunaan racun serangga di Cameron Highlands masih tinggi


Tarikh kemaskini: 22/06/2019





CAMERON HIGHLANDS, 22 Jun (Bernama) -- Tahap penggunaan racun serangga dalam kalangan pekebun di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands masih tinggi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan bukan sahaja  membahayakan petani dan pengguna, malah merosakkan alam sekitar serta menyebabkan sayur-sayuran tidak dapat dieksport ke negara luar.

Katanya bagi membantu petani di Cameron Highlands mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak untuk mengawal ulat 'Plutella' dan ulat Pelombong Daun, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan kerjasama Jabatan Pertanian  telah berjaya membiakkan tiga agen kawalan biologi.

"Agen kawalan biologi ini dibiakkan dari jenis parasitoid iaitu 'Diadegma' dan 'Cotesia' secara besar-besaran di makmal untuk kegunaan petani bagi mengawal ulat Plutella manakala jenis ‘Tiger Fly’ pula untuk  mengawal ulat pelombong daun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Agen Kawalan Biologi di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Sim berkata semua petani dan pengusaha sayuran di Cameron Highlands digesa menggunakan ketiga-tiga agen kawalan biologi itu demi menjamin kualiti serta keselamatan makanan selain mengurangkan kos pengeluaran dan pencemaran alam sekitar akibat penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan.

Katanya semua petani dan pekebun tanaman sayuran berdaun di sini diberi tempoh selama enam bulan bagi mengurangkan penggunaan racun serangga sebelum tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil.

"Analisis ekonomi yang dijalankan mendapati teknologi ini berupaya memberikan penjimatan kos racun makhluk perosak sebanyak RM2,000 semusim.

"Ketiga-tiga agen kawalan biologi ini telah dibiakkan secara besar-besaran untuk dibekalkan  kepada petani sayur-sayuran di tanah tinggi Cameron Highlands," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan dan persatuan petani di Cameron Highlands bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan penggunaan racun perosak dan kelebihan menggantikannya dengan penggunaan agen kawalan biologi sebelum memperluaskannya di seluruh negara.

Agen Kawalan Biologi merupakan satu kaedah lestari bagi pengawalan serangga perosak untuk tanaman sayur-sayuran yang memberi impak yang negatif terhadap hasil pengeluaran pertanian negara pada hari ini.

Kaedah kawalan biologi yang dibangunkan Mardi dan Jabatan Pertanian bagi mengatasi masalah itu daripada menular terbukti berkesan mengawal serangan serangga perosak di kebanyakan kawasan pertanian seluruh dunia.

Cameron Highlands merupakan destinasi pelancongan terkenal sebagai pusat penghasilan dan pengeluaran sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang utama di negara ini sejak pertanian mula diperkenalkan di daerah ini pada awal tahun 1930-an.

Secara keseluruhannya, Pahang merupakan negeri terbesar mengeluarkan sayur-sayuran terutama kubis bulat yang ditanam di kawasan seluas 2,770 hektar, menghasilkan pengeluaran hampir 68,500 tan metrik dengan sumbangan terbesar datang dari Cameron Highlands iaitu sebanyak 68,400 tan metrik.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel