Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis siasat kejadian khianat kubur


Tarikh kemaskini: 22/06/2019





MELAKA, 22 Jun (Bernama) -- Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perbuatan khianat merosakkan beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris meminta semua pihak bertenang dan tidak menularkan gambar serta video kejadian itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut.

“Kita dalam proses membuat pengecaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dan telah mengambil keterangan daripada dua individu yang didakwa berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata polis juga sedang meneliti beberapa laporan polis bagi membuka kertas siasatan dan buat masa ini kes tersebut  disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

Media tempatan semalam melaporkan penduduk Bachang digemparkan dengan kejadian kira-kira 20 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab kira-kira jam 8.00 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung tanah perkuburan diceroboh dan batu nisan dirosakkan pada pukul 10.20 malam tadi.

Beliau berkata hasil daripada aduan daripada seorang lelaki berumur 41 tahun, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 297 kanun keseksaan kerana menceroboh.

“Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Afzanizar berkata menurut pengadu terdapat 20 batu nisan dirosakkan dan dua kubur mempunyai kesan plastik dibakar.

Katanya pihak polis meminta saksi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Wakil jabatan audit mengaku rakam mesyuarat "pinda laporan audit 1MDB"

 
     

Pasukan audit 1MDB terkejut dengar gugur penyata kewangan - Saksi

 
     

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel