Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAQIS, PGA7 rampas 4,000 biji kelapa cuba diseludup masuk ke Malaysia


Tarikh kemaskini: 21/06/2019




KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bersama Batalion Ketujuh Pasukan Gerakan Am (PGA7), merampas 4,000 biji buah kelapa bernilai RM10,000, dalam satu serbuan di sebuah pangkalan haram Lubok Gong, Pasir Mas, Rabu lepas.

Pengarah MAQIS Kelantan Mohd Azam Yahya berkata dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, sekumpulan lima penyeludup dilihat sedang asyik memunggah buah kelapa yang sudah dibuang sabut dari sebuah bot di tebing Sungai Golok ke dalam sebuah lori di pangkalan haram Lubok Gong.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak PGA7 yang membuat serbuan bersama MAQIS secara mengejut, kumpulan lima lelaki itu terus bergegas melarikan diri ke negara jiran.

“Hasil pemeriksaan menemui 4,000 biji buah kelapa di dalam lori berkenaan dan dipercayai diperolehi dari negara jiran sebelum cuba diseludup masuk untuk pasaran sekitar Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan serbuan turut menyita sebuah lori yang dianggarkan bernilai kira-kira RM60,000 dan kesemua hasil rampasan dibawa ke pejabat agensi itu untuk siasatan lanjut.

Mohd Azam berkata perbuatan mengimport buah kelapa tanpa permit import yang sah dari MAQIS, adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Beliau berkata jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya kegagalan mematuhi peraturan import ini juga boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kuarantin Dan Pemeriksaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2019 sehingga RM50,000.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel