eN_mkbRPiH4 "Kami ok," kata Orang Asli Semaq Beri
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

"Kami ok," kata Orang Asli Semaq Beri


Tarikh kemaskini: 21/06/2019





Oleh Zalina Maizan Ngah

HULU TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) -- "Usah risau kami ok,” kata wakil Orang Asli suku Semaq Beri, Ibrahim Awang, setelah menyedari 'kehilangan’ secara beramai-ramai kaum itu dari penempatan Sungai Berua merunsingkan banyak pihak.

Ibrahim, 75, yang ditemui Bernama berkata sehingga kini kebanyakan mereka sihat dan sentiasa dikunjungi pegawai kesihatan malah akan keluar sendiri dari hutan jika mengalami demam dan batuk.

“Kami tetap memilih terus tinggal di hutan. Rasanya mungkin dalam dua bulan lagi kami di dalam hutan ni. Kami ni bukan sahaja lari dari penyakit tetapi juga mahu mengumpul lebih banyak hasil hutan terutama rotan,” katanya yang dianggap ketua di situ oleh lebih 150 daripada 26 keluarga Orang Asli Semaq Beri.

Menurut Ibrahim, kebiasaannya hanya lelaki yang akan keluar ke hutan tetapi berikutan penularan penyakit yang dikatakan dibawa oleh saudara mereka dari suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan ketika berkunjung ke Sungai Berua awal bulan lalu, mereka tekad berpindah ke hutan sekitar Hulu Terengganu.

Beliau berkata pergerakan Orang Asli Semaq Beri masih boleh dijejaki kerana setiap kali berpindah, lokasi terbaru akan dimaklumkan kepada beberapa orang lain termasuk saudara yang tidak berpindah.

"Sekarang ini saya dimaklumkan ramai yang sakit dan dah masuk hospital sejak ada puak dari Kuala Koh datang. Saya juga risau dengan kesihatan semua orang, sebab itu ambil langkah berjaga-jaga," katanya.

Pada Sabtu Orang Asli Semaq Beri dikesan berada di sekitar Kampung Gerdong. Mereka berada di situ selama dua minggu dan meninggalkan kawasan tersebut tiga hari lepas ke hutan yang lebih 10 kilometer kedudukannya dari jalan utama.

Tinjauan ke penempatan terbaru itu lewat petang semalam mendapati mereka sedang giat membina pondok dan khemah di kawasan penempatan sementara itu dan memilih berada berdekatan sungai bagi mendapatkan sumber air dan ikan.

Kaum lelaki sibuk menebang pokok serta membersihkan kawasan hutan itu dan menyiapkan 26 pondok dalam masa dua jam sahaja, manakala kaum wanita dilihat mencuci pakaian di sungai.

Sebahagian daripada 56 kanak-kanak pula riang bermain di celah-celah pokok bersama anak monyet dan kucing yang dimaklumkan dibawa dari Sungai Berua.

Selain kumpulan itu, masih ada beberapa kumpulan lain berpindah ke dalam hutan hingga penempatan di Sungai Berua yang mempunyai 600 penduduk, kini senyap dan sunyi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel