Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Rosmadi pertimbang rebut jawatan Presiden KAFA


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PETALING JAYA, 20 Jun (Bernama) -- Bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail tidak menolak kemungkinan untuk bertanding jawatan Presiden persatuan berkenaan sekiranya mendapat pencalonan daripada Persatuan Bola Sepak Jajahan negeri itu.

Rosmadi yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan beliau perlu berbincang terlebih dahulu dengan ahli keluarganya selain mendapatkan pandangan pihak lain sebelum merebut kerusi berkenaan yang kini kosong susulan peletakan jawatan secara mengejut penyandang Bibi Ramjani Ilias Khan, baru-baru ini.

"Kita kena serahkan pada sistem iaitu PBJ (Persatuan Bola Sepak Jajahan) yang mempunyai hak yang difikirkan sesuai untuk mengemudi KAFA.

"Kita tengok kepada (keputusan) PBJ ingin mencalonkan siapa, mungkin di pihak PBJ mereka mempunyai pandangan calon-calon yang sesuai," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan penajaan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berharap proses pemilihan Presiden baharu KAFA dapat dijalankan secepat mungkin terutamanya dalam menjaga kebajikan pemain skuad 'The Red Warriors' yang sedang beraksi dalam Liga Premier ketika ini.

"Perbelanjaan mengendalikan sesebuah pasukan amat besar, jadi kalau tiada Presiden pada masa sekarang, ia tidak sesuai.

"Saya sebagai orang Kelantan, amat sayangkan bola sepak Kelantan.Saya hanya mampu berdoa pada ketika ini proses penggantian Presiden KAFA dapat berjalan seperti biasa," jelasnya.

Dalam pada itu, Rosmadi berpandangan terdapat beberapa individu lain di negeri berkenaan yang terlibat dalam politik yang mampu mengisi kerusi berkenaan.

Tanpa menamakan individu berkenaan, beliau yakin mereka mampu melakukan transformasi dalam bola sepak Kelantan yang berdepan pelbagai masalah termasuk isu tunggakan gaji pemain yang membelenggu skuad 'The Red Warriors' selama ini.

Bibi Ramjani baru-baru ini mengumumkan peletakan jawatannya selaku Presiden KAFA menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Beliau yang merupakan pengusaha batik di negeri Kelantan dipilih sebagai Presiden KAFA bagi penggal 2017 hingga 2021 pada 17 September 2017 sempena Kongres Tahunan KAFA Ke-63, setelah menewaskan seorang lagi calon yang juga bekas naib presiden, Datuk Mohamad Nasir Hamzah.

Rosmadi turut bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden KAFA pada Kongres berkenaan, namun tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel