Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Murid sesak nafas ketika program rumah terbuka sekolah berlangsung


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





JOHOR BAHRU, 20 Jun (Bernama) -- Kejadian pencemaran udara terbaru yang menjejaskan 15 mangsa termasuk 13 murid dari dua sekolah di Pasir Gudang hari ini, dilaporkan berlaku ketika berlangsung sesi pembelajaran dan program rumah terbuka Aidilfitri di sekolah terbabit.

Guru Besar Sekolah Agama Taman Mawar, Rahmah Yahaya berkata pembelajaran sesi petang di sekolahnya berlangsung kira-kira 2.30 petang.

Namun tidak lama selepas itu, terdapat seorang murid perempuan dilaporkan telah pengsan, sebelum kejadian turut berlaku ke atas murid lain, yang kebanyakannya di tingkat atas.

“Ada seorang pelajar pengsan, ada juga pelajar yang sakit perut, pening, muntah-muntah dan menangis kerana sesak nafas.

“Kami kemudian segera mengumpulkan mereka dan menghubungi pihak ambulans, bomba serta pihak berkuasa lain,” katanya ketika ditemui Bernama di sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 - Mohamad Addam Azfar Azlan, 8, berkata dia mengalami simptom muntah dan pening secara tiba-tiba semasa menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan pihak sekolahnya, kira-kira 3.30 petang. 

“Selain saya, ada juga kawan-kawan yang lain muntah. Rasa susah bernafas sedikit dan pening-pening tetapi tiada bau busuk atau bau lain,” katanya.

Mengalami situasi sama seperti Mohamad Addam ialah Ahmad Dhamidi Imran, 8.

Katanya, dia turut mengalami mual-mual dan muntah namun tidak pasti disebabkan oleh apa. 

Dalam pada itu, ibu Mohamad Addam - Nurul Aisyah Mohd Ramli, 33 berkata dia yang sedang bekerja ketika kejadian, bergegas ke sekolah anaknya sebaik mendapat maklumat. 

“Saya terkejut dan segera ke sini, jururawat yang memberi rawatan membenarkan anak saya pulang namun perlu ke klinik atau hospital jika simptom dirasai lagi,” katanya.

Dakwa Nurul Aisyah, semenjak beberapa hari yang lepas, dia ada menerima mesej daripada kumpulan WhatsApp kilangnya yang mengadu mengenai bau yang kurang menyenangkan di kawasan sekitar dan mengarahkan penduduk untuk memakai penutup muka dan mulut.

“Ada kata bau macam rumput terbakar, ada bau najis dan sebagainya,” katanya.

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel