Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Wabak demam campak kalangan Orang Asli Kuala Koh rekod 43 kes


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Sejumlah 43 kes daripada 113 kes melibatkan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang di Kelantan, didapati positif wabak demam campak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Daripada 113 kes yang direkod setakat Selasa lepas, 53 kes masih dirawat di hospital iaitu 51 kes di wad biasa dan dua di Unit Rawatan Rapi; 12 kes dengan gejala ringan ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli di Gua Musang serta tujuh kes di Pusat Latihan Khidmat Negara Gua Musang manakala kes kematian kekal tiga.

“Keputusan makmal terkini ke atas dua kes kematian yang dibuat bedah siasat didapati positif measles (demam campak)," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata bedah siasat ke atas 12 mayat yang ditemui telah dijalankan serta sampel telah dihantar ke makmal, yang keputusannya dijangka dalam masa terdekat.

Dr Dzulkefly berkata tiada kes baharu disyaki demam campak dilaporkan dalam komuniti Orang Asli di Kg Gerdong, Hulu Terengganu dan Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa wabak demam campak bukan punca kematian Orang Asli di Kuala Koh, beliau berkata pihak berkenaan tidak sepatutnya membuat dakwaan tanpa bukti yang kukuh.

“Perkara ni tak boleh dakwa. Ia mestilah kukuh, secara objektif ditentukan melalui ujian yang dilakukan dan mesti mempunyai nilai empirik yang kukuh,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan pihaknya lambat bertindak untuk menangani wabak demam campak kalangan Orang Asli di Kuala Koh, sebaliknya menegaskan kejadian wabak itu hanya diterima oleh Kementerian Kesihatan pada 3 Jun lepas.

“Pada hari yang sama pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli telah memasuki perkampungan tersebut dan mengesan 29 penduduk Orang Asli yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan.

“Wabak telah diisytihar pada hari tersebut dan aktiviti pencegahan dan kawalan wabak telah digerakkan pada hari yang sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel