Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kabinet tidak bincang isu video - Dr Wan Azizah


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Kabinet yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan tentang video kontroversi yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kenapa bincang? Ia tiada dalam agenda,” katanya sambil tertawa, ketika ditanya pemberita tentang perkara itu selepas menghadiri program ‘Bicara Ilmu Sri Satria’, di Sri Satria, kediaman rasmi timbalan perdana menteri, di sini hari ini.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk membawa isu video kontroversi itu kepada majlis presiden Pakatan Harapan bagi menyelesaikan pertelingkahan dalam parti dan memastikan keyakinan rakyat, Dr Wan Azizah berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Mana-mana parti akan ada sedikit sebanyak perbezaan politik antara mereka sendiri. Ia sebahagian daripada apa jua yang berlaku dalam arena politik,” katanya.

Beliau berkata pada masa itu isu video itu beransur-ansur selesai dan mula reda.

Mengenai program bulanan majlis bicara ilmu Sri Satria pada hari ini, Dr Wan Azizah berkata seorang tokoh akan menyampaikan syarahan sebulan sekali bagi memberi sedikit ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

Pada hari ini, syarahan  bertajuk ‘Isu-isu dan Perkembangan Semasa Dunia Islam’ disampaikan oleh  Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Program bicara ilmu Sri Satria yang kini sudah masuk siri keenam merupakan idea Dr Wan Azizah sendiri bertujuan mengimarahkan Sri Satria sebagai pusat perkembangan ilmu. Lebih 300 orang hadir pada majlis kali ini. 

Dr Wan Azizah ketika memberi ucapan ringkas selepas syarahan Mohammad Redzuan  mengimbau kehadirannya dalam persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada awal Ramadan. 

Beliau melahirkan rasa sedih kerana platform OIC tidak digunakan untuk negara Islam yang kaya membantu negara Islam yang miskin.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     

Semua sekolah di Putrajaya dibuka esok

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel