Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Geran RM250 juta program CSR anjuran SRC tak patuhi peraturan syarikat - Suboh


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) SRC International Sdn Bhd melibatkan geran RM250 juta untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur, tidak mematuhi peraturan syarikat walaupun telah dipersetujui oleh "pihak atas".

 Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin, 68, berkata SRC telah melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) untuk mengendalikan program itu dengan peruntukan sebanyak RM250 juta.

Saksi pendakwaan ke-42 itu berkata, lantikan IPSB dibuat olehnya sendiri dan juga Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil.

"Namun, pada pendapat saya geran ini amat besar jumlahnya dan sepatutnya melalui prosedur sedia ada untuk mendapatkan kelulusan bertulis melalui resolusi Lembaga Pengarah terlebih dahulu. Saya menimbulkan persoalan berkenaan peraturan syarikat dan isu berhubung pematuhan syarat yang diperlukan kerana geran RM250 juta ini melibatkan penggunaan dana SRC. 

 Setiap kali saya membangkitkan isu ini, Nik Faisal menyatakan "it will be taken care of" (perkara itu akan diuruskan) dan perkara ini telah dipersetujui ‘pihak atas’ ", katanya ketika membacakan penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Suboh berkata, pada pendapatnya "pihak atas" yang dikatakan Nik Faisal merujuk kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku penasihat emiritus SRC dan berikutan itu, beliau memilih untuk berdiam diri serta isu ini tidak dibincangkan lagi.

Menurutnya, RM250 juta itu akhirnya diluluskan dengan syarat Ihsan Perdana akan menstrukturkan kerja-kerja CSR, termasuk program untuk membasmi kemiskinan serta membangun dan membaiki infrastruktur awam selain dinasihatkan untuk melapor kerja yang dilakukan kepada SRC.

"Sekiranya ada dana geran yang tidak digunakan, baki perlu dikembalikan kepada SRC pada hujung tempoh geran yang diberikan. Bagaimanapun, IPSB tidak pernah memberikan maklum balas mengenai perkara itu dan saya tidak tahu sama ada baki geran dipulangkan syarikat itu kepada SRC," katanya.

Beliau berkata kebanyakan tindakan berkaitan SRC dilakukan Nik Faisal selaku Ketua Pegawai Eksekutif SRC dan Nik Faisal akan membentangkan sebarang kertas kerja kepada Lembaga Pengarah untuk diputuskan dan akan mengambil tindakam susulan bagi setiap projek yang ingin dilaksanakan SRC

 Merujuk kepada dua set surat "Facility Agreement" dan "Letter of Guarantee Relating To The Financing Facility Agreement of RM2 Billion Granted to SRC International Sdn Bhd" masing-masing bertarikh 26 Ogos 2011 dan 27 Mac 2012, Suboh berkata beliau tidak berapa tahu berkenaan kedua-dua permohonan pembiayaan itu kerana segalanya diuruskan Nik Faisal.

Surat jaminan itu ditandatangani Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, katanya.

 "Daripada jumlah RM4 bilion tersebut, lebih kurang 90 peratus dilaburkan oleh SRC ke pelbagai portfolio pelaburan luar negara. Baki pembiayaan sebanyak RM400 juta disimpan bagi pembiayaan operasinya dan pelaburan dalam negara.

 "Lebih kurang RM40 juta lagi telah digunakan untuk pembelian hartanah yang kemudian dijual kepada salah satu anak syarikat SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd," katanya.

 Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

 Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 1 Julai dengan Suboh akan menyambung keterangannya.

Kira-kira pukul 5 petang, Ishak memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan akan mengambil masa dalam tiga atau empat  jam lagi  bagi meneruskan pemeriksaan utama kepada Suboh.

Mohd Nazlan bertanyakan sekiranya prosiding boleh dilanjutkan sehingga 9 malam, bagaimanapun Ishak memaklumkan Suboh tidak sihat dan mahkamah menetapkan 1 Julai untuk menyambung perbicaraan.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel