Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Percepat kelulusan potong bekalan utiliti, banteras kilang plastik haram


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KLANG, 20 Jun (Bernama) -- Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyeru Suruhanjaya Tenaga (ST) supaya mempercepatkan kelulusan pemotongan bekalan elektrik ke atas kilang-kilang plastik haram yang masih beroperasi di daerah ini.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya telah menghantar senarai 30 kilang plastik haram kepada ST baru-baru ini untuk diluluskan pemotongan bekalan utilitinya oleh agensi terlibat bagi membendung kegiatan itu terus berlarutan.

Beliau berkata lokasi kilang plastik haram yang dikesan terus aktif walaupun pernah disita itu adalah di sekitar Telok Gong, Pulau Indah dan Taman Perindustrian Sobena Jaya.

“Sebelum ini kita ada buat serbuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk memotong bekalan utiliti tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana tiada kelulusan daripada pihak ST.

Pemilik kilang haram ini tahu kuasa MPK terhad. Walaupun kita telah berikan notis henti operasi, kenakan kompaun malah menyita premis namun mereka tetap boleh sambung operasi kerana bekalan elektrik dan air masih ada,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri Bersama MPK 2019 di Taman Pengkalan Batu, di sini hari ini.

Justeru itu kata Mohamad Yasid, pihaknya mengharapkan kerjasama daripada ST untuk menyegerakan  kelulusan permohonan untuk memotong bekalan utiliti di kilang-kilang haram berkenaan supaya usaha MPK membanteras sepenuhnya kegiatan itu berjalan lancar.

Pada 3 Jun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han menyatakan kelewatan syarikat utiliti memotong bekalan kepada kilang-kilang haram itu melambatkan usaha MPK untuk menutup sepenuhnya operasi premis terbabit.

Kata Ng, mengikut pengalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa lokasi lain di negeri itu, usaha membanteras kilang plastik haram hanya boleh dilakukan apabila premis-premis terlibat tidak lagi mempunyai akses kepada tenaga elektrik dan bekalan air.

Terdahulu pada majlis sambutan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari menyampaikan sumbangan duit raya kepada 120 Orang Kelainan Upaya (OKU) asnaf dan fakir miskin.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel