Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Peniaga rugi RM10,000 beli delima merah 'ibu duit'


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KUANTAN, 20 Jun (Bernama) -- Seorang peniaga kedai runcit mendakwa kerugian RM10,000 selepas membeli sebutir delima merah yang dikatakan sebagai 'ibu duit' daripada seorang bomoh warga Indonesia. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Kama Azural Mohamed berkata mangsa yang berusia 43 tahun membeli  batu delima itu pada 25 Mei lalu, semasa beliau dan isteri bertemu suspek untuk berubat. 

Katanya suspek yang berusia 46 tahun telah menunjukkan satu tin yang diisi penuh dengan wang kertas RM100 dan menawarkan delima merah itu yang dikatakan boleh menggandakan wang. 

"Mangsa dipercayai terpengaruh lalu membeli delima merah itu. Suspek kemudiannya memberi delima merah bersama empat tin biskut yang didakwa akan dipenuhi duit selepas tempoh tertentu. 

"Suspek juga memberi syarat kepada mangsa untuk tidak membuka tin itu dalam tempoh enam hari," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini. 

Kama Azural berkata mangsa bagaimanapun kecewa selepas mendapati tiga daripada tin itu kosong, manakala sebuah lagi dipenuhi sampah selepas membukanya enam hari kemudian. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuantan ke rumah sewa suspek di Jalan Kemaman di sini, pada 14 Jun lalu. 

Serbuan itu juga membawa kepada penemuan selaras senapang api buatan sendiri di rumah yang dipercayai dihuni suspek seorang diri sejak tiga bulan lalu. 

Kama Azural berkata polis juga menemui 15 butir batu permata, televisyen pelbagai jenama (tujuh), telefon bimbit (dua), wang kertas RM100 dan RM50 berjumlah RM5,800 dan beberapa keping duit syiling lama. 

Katanya suspek yang telah tamat permit untuk berada di Malaysia kini direman 14 hari bermula 15 Jun lalu bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel