Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bunuh pembantu rumah: hukuman penjara ke atas pasangan warga emas kekal


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap pasangan warga emas yang disabitkan kesalahan kerana mengakibatkan kematian pembantu rumah mereka warga Indonesia pada 2011.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan semakan semula yang dikemukakan oleh Fong Kong Meng dan isterinya, Teoh Ching Yen.

"Tiada merit dalam permohonan ini,” kata Hakim Wong.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan telah menilai semula keseluruhan keterangan dan menegaskan bahawa sabitan kesalahan ke atas pasangan itu seharusnya mengikut seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Fong, 63, bekas konsultan pendawaian, dan Teoh, 61, suri rumah, pada mulanya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Isti Komariah, 26, di sebuah rumah di Jalan SS 2/6, Sea Park di Petaling Jaya, Selangor antara 14 Mei 2010, dan 5 Jun 2011. 

Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Fong dan Teoh terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan meminda pertuduhan bunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut seksyen 304 (a) dan menjatuhi hukuman penjara 20 tahun ke atas mereka.

Pasangan itu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 4 April dengan mendakwa hukuman penjara 20 tahun ke atas mereka mengikuti seksyen 304 (a) merupakan suatu kesilapan.

Peguam  Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili pasangan itu, berhujah di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mei bahawa hukuman itu sewajarnya mengikut seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan bukan menurut seksyen  304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Beliau berkata kes anak guamnya berada di bawah seksyen 304 (b) kerana mereka melakukan kesalahan itu tanpa sebarang niat untuk mengakibatkan kematian.

Sri Ram, yang dibantu peguam Hisyam Teh Poh Teik, berhujah bahawa pendakwaan telah berpegang kepada seksyen 300 (d) Kanun Keseksaan untuk membuktikan kes kerana membunuh, dan Mahkamah Tinggi turut berpegang pada seksyen sama ketika menjatuhi hukuman mati ke atas pasangan berkenaan.

Seksyen  300 (d) terpakai pada kes di mana tertuduh didapati tidak mempunyai niat untuk mengakibatkan kecederaan pada bahagian tertentu badan yang membawa kepada kematian.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi, berhujah bahawa hukuman penjara 20 tahun ke atas Fong dan Teoh adalah mengikut undang-undang.

Beliau berkata permohonan bagi semakan di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 hanya terpakai dalam keadaan khas serta luar biasa dan pasangan itu tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Pada 16 Mei lepas, panel hakim terdiri daripada Hakim Wong dan empat hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Datuk Nallini Pathmanathan menangguhkan keputusan mereka selepas selesai mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel