Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Teo tidak campur tangan isu berkaitan pendidikan Islam - Maszlee


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini menafikan timbalannya, Teo Nie Ching, cuba mencampuri urusan silibus Pendidikan Islam.

Menurutnya, Teo hanya berkongsikan usaha yang dijalankan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang sedang menjalankan tinjauan berkaitan cadangan menambah baik mata pelajaran Pendidikan Islam.

“Survey (tinjauan) tersebut telah dikeluarkan di laman web Kementerian Pendidikan (KPM) dan kemudian timbalan menteri telah kongsikan di media sosial beliau.

“Lalu ada orang yang telah snap gambar tersebut dan timbulkan isu kononnnya timbalan menteri nak campur tangan dalam silibus Pendidikan Islam, itu tidak benar,” katanya kepada media pada majlis jalinan mesra Menteri Pendidikan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai hantaran Teo dalam laman sosial Facebook miliknya yang mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April lepas bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam bagi tujuan penambahbaikan.

MPPK dalam satu kenyataan pada Selasa (18 Jun) berkata PPKPI melaksanakan tinjauan dalam talian bagi melihat pandangan yang relevan dan sesuai untuk diambil kira bagi meningkatkan kualiti mata pelajaran Pendidikan Islam.

Maszlee berkata tidak timbul isu Teo mengumumkan perkara tersebut kepada umum atau dilihat mendahului dirinya memandangkan inisiatif MPPK itu telah diumumkan di laman web KPM terlebih dahulu sebelum dikongsikan oleh Teo di media sosialnya.

“Ia merupakan projek MPPK bukan projek timbalan menteri,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel