Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Karim tidak pertahan jawatan presiden KOM jika Shahidan tanding


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim menyatakan jika Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bertanding untuk jawatan tertinggi itu, beliau mungkin tidak mempertahankan jawatannya.

Namun disebabkan bekas presiden itu memilih untuk bertanding jawatan  timbalan presiden, Karim bertegas untuk mempertahankan jawatannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk sukan itu pada 30 Jun ini.

“Saya dan Datuk Seri Shahidan memang rakan baik dan saya pernah berkhidmat di bawahnya ketika beliau menjadi presiden. Saya pernah menyatakan kepadanya dulu, jika beliau mahu kembali menjadi presiden, saya rela melepaskan jawatan. Sekiranya beliau bertanding, saya mungkin fikir dua kali untuk bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat KOM di sini, hari ini..

Karim, 63, yang menduduki kerusi nombor satu KOM sejak 2014 dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam arena olahraga tanah air, bakal dicabar timbalannya, yang juga merupakan Presiden Persatuan Olahraga Selangor, Datuk S M Muthu.

Sementara itu, Shahidan bakal mencabar naib presiden, yang juga bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden KOM.

Antara perkara dijanjikan Karim ialah membentuk hala tuju sukan olahraga di semua peringkat untuk pembangunan jangka panjang serta meningkatkan promosi dan kesedaran mengenai sukan itu sehingga ke peringkat akar umbi.

Selain itu, beliau menjanjikan penganjuran lebih banyak pertandingan di pelbagai peringkat, meningkatkan  kursus kejurulatihan dan memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga.

Beliau juga menyasarkan skuad olahraga negara meraih sekurang-kurangnya sebutir pingat pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Zhejiang, China, dan muncul juara keseluruhan acara olahraga pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel