Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Enam bulan sediakan syor berhubung kehilangan Raymond Koh, Amri


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





SERDANG, 20 Jun (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat diberikan masa selama enam bulan untuk menyediakan syor kepada kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata nama-nama individu yang akan menganggotai pasukan itu telah dibawa ke Kabinet dan akan diumumkan minggu depan.

"Kita tentukan mereka yang dipilih adalah tidak berat sebelah, mempunyai obligasi yang diperlukan supaya hasil laporan dan syor tidak dikatakan berat sebelah,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Pada 23 Mei lepas, Muhyiddin mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas yang bakal dianggotai antara enam dan tujuh individu bertujuan meneliti laporan Suhakam, seterusnya mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes kehilangan dua individu tersebut.

Muhyiddin berkata berdasarkan laporan Suhakam itu, kerajaan juga telah menyediakan terma rujukan khusus untuk panduan pasukan petugas khas  itu sepanjang proses berkenaan.

"Tempoh enam bulan dirasakan sesuai bagi pasukan tersebut meneliti laporan dan menyediakan syor tertentu bagi dibentangkan kepada jemaah menteri," katanya.

Pasukan petugas khas itu juga harus mengambil maklum bahawa ada kes berkaitan paderi itu sedang dibicarakan di mahkamah, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Malaysia belum menerima permintaan rasmi kerajaan India untuk mengekstradisi Dr Zakir Naik walaupun mahkamah negara itu sudah mengeluarkan arahan yang penceramah bebas itu perlu hadir ke mahkamah pada 31 Julai depan.

"Setakat ini, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri belum menerima permohonan dari kerajaan India," katanya.

Semalam, sebuah mahkamah di India mengeluarkan arahan meminta Zakir hadir ke mahkamah negara itu pada 31 Julai ini atau berdepan dengan waran tangkap jika gagal menghadirkan diri.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel