Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pekerja parah digilis ketika cuba halang pencuri larikan kereta pelanggan


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





SHAH ALAM, 20 Jun (Bernama) -- Seorang pekerja pusat servis kenderaan cedera parah akibat digilis ketika cuba menghalang seorang pencuri melarikan sebuah kereta milik pelanggan pusat servis berkenaan Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata dalam kejadian pada kira-kira 7 pagi itu, dua suspek menaiki sebuah kenderaan telah ke pusat servis kenderaan berkenaan di Glenmarie Seksyen U1 di sini sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam pusat servis berkenaan dan mencuri anak kunci sebuah kereta pelanggan.

"Pekerja di pusat servis itu tidak menyedari perkara berkenaan dan mereka hanya menyedarinya selepas melihat sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta bergerak.

"Pekerja pusat servis berkenaan telah mengambil tindakan cuba menghalang kereta itu dari keluar dari kawasan pusat berkenaan tetapi semasa cuba menahan kereta itu seorang pekerja bernama V. Kannan berusia lingkungan 30-an telah digilis oleh kereta yang dibawa oleh suspek," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Baharudin kereta berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan berdekatan laluan keluar bengkel  dan suspek lelaki berusia 37 tahun berjaya ditangkap oleh pekerja pusat servis berkenaan yang kemudian bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut dan pekerja yang cedera telah dikejarkan ke Hospital Shah Alam.

"Siasatan lanjut polis terhadap suspek mendapati beliau mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan mencuri, suspek turut didapati positif dadah jenis syabu," katanya.

Kata Baharudin lagi pihaknya kini sedang giat mengesan seorang rakan suspek bernama Darma Suria Risman Salleh, 37 tahun yang beralamat di Pangsapuri Sri Perantau Pelabuhan Klang dekat sini yang berjaya melarikan diri semasa kejadian berkenaan.

Sehubungan itu, Baharudin berkata pihak polis mohon kerjasama orang ramai jika ada sebarang maklumat berkaitan suspek yang masih bebas untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes Insp Nurul Al Shakinaqaiyum Alladin di talian 010-2480065 atau hubungi balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel