Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MAIK agih hampir RM32.5 juta bantu golongan asnaf


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)  telah mengagihkan sebanyak RM32.5 juta bagi suku pertama tahun ini kepada enam golongan asnaf di negeri ini. 

Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata agihan berkenaan bagi tempoh bermula Januari sehingga Mac lepas melalui 21 program agihan.

“Antara program agihan yang telah dianjurkan ialah bantuan bulanan fakir miskin, bantuan pembangunan ekonomi, bantuan am, rawatan perubatan, persekolahan, bantuan rumah kediaman, biasiswa kecil pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jalinan Ukhwah Aidilfitri Bersama MAIK 2019 di Dewan Besar Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini, hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata agihan berkenaan termasuk bantuan golongan fakir dan miskin sebanyak RM23.9 juta telah diagihkan, manakala golongan amil sebanyak RM3,287.50, RM87,766 (mualaf), RM63,707.00 (Riqob dan Gharimin), RM900 (Ibnu Sabil), dan golongan Fi Sabilillah hampir RM9 juta. 

“MAIK juga telah mengambil satu inisiatif dan langkah proaktif dengan melantik kira-kira 50 sukarelawan MAIK bagi bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ MAIK di setiap jajahan dan mukim dengan cara ‘turun padang’ bagi memastikan tiada lagi golongan asnaf yang tercicir,” katanya. 

Katanya, MAIK juga mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan juga orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat berkenaan asnaf bagi membolehkan MAIK memberi bantuan yang sewajarnya. 

Sementara itu, beliau juga berkata dalam aspek pendidikan, MAIK telah membelanjakan sebanyak RM37 juta pada tahun 2018 kepada 28,141 penerima asnaf termasuk bantuan persekolahan, bantuan melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi (IPT), bantuan pelajar pondok dan sebagainya. 

“Peruntukan yang dibelanjakan bagi tujuan pendidikan adalah mewakili 20.3 peratus daripada jumlah kutipan zakat sebagai keutamaan pihak kami kepada bidang ini kerana menyedari bahawa melalui pendidikan, kemiskinan dapat diuruskan dan dikurangkan,” katanya. 

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel