Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

FAMA giat tambah penanam labu manis bagi penuhi permintaan


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





KUALA TERENGGANU, 20 Jun (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan melakukan penjadualan semula penanaman labu manis bagi mengatasi masalah kemerosotan bekalan, yang sering berlaku pada musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Zainal Abidin Yang Razalli berkata ketika ini pengeluar terbesar labu manis ialah di Terengganu dan Kelantan, namun bekalan akan terhenti setiap kali musim tengkujuh melanda dua negeri itu.

"Ketika ini, FAMA memerlukan 300 metrik tan labu manis setiap bulan namun pengeluaran dari Terengganu dan Kelantan hanya dapat menampung 30 peratus daripada jumlah itu.

"Sebab itu, kita mahu tingkatkan bilangan peserta ladang kontrak di Pantai Barat agar mereka memilih labu manis sebagai tanaman utama mereka untuk menampung kemerosotan bekalan terutama pada musim tengkujuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrobazaar FAMA dekat Chendering di sini hari ini. 

Setakat ini, 100 peserta ladang kontrak dari Selangor, Melaka, Kedah dan Perak akan mula menanam labu manis pada Ogos depan di mana hasil tuaian dijangka bermula pada November.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata penambahan 100 peserta ladang kontrak di empat negeri itu dijangka dapat meningkatkan bekalan pengeluaran sebanyak 60 peratus berbanding 30 peratus yang dibekalkan Terengganu dan Kelantan ketika ini.

"FAMA sangat menggalakkan lebih ramai peserta ladang kontrak menanam labu manis ini kerana ia adalah komoditi sayur-sayuran yang mempunyai ketahanan jangka hayat lebih lama iaitu dua hingga tiga minggu tanpa sebarang kerosakan.

Malah sejak Januari lalu harganya juga tidak pernah turun dari RM1.50 untuk satu kilogram...ia adalah sejenis tanaman yang menguntungkan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel