vEHELwIHFWE Nasi lemak buah tin di Janda Baik
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Nasi lemak buah tin di Janda Baik


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





Oleh Siti Salwa Shaari

BENTONG, 20 Jun (Bernama) -- Jika Cameron Highlands dikenali dengan nasi lemak strawberi, Janda Baik di sini pula memiliki nasi lemak buah tin yang diilhamkan daripada produk pertanian baharu di situ.

Resipi nasi lemak sambal tumis buah tin itu merupakan cetusan idea anak muda, Faiz Farhan Yahya, 28, yang mengambil masa berbulan-bulan bereksperimen bagi mendapatkan 'rasa yang menepati piawaian orang Malaysia'. 

Faiz Farhan yang merupakan lulusan Institut Makanan Malaysia dalam bidang pastri berkata anggota keluarga dan rakan terdekat menjadi ‘pengkritik paling hebat’ sepanjang beliau mencari rasa yang sesuai. 

"Sambal tumis buah tin istimewa kerana rasanya yang seimbang iaitu pedas namun tidak keterlaluan manakala rasa buah tin masih dirasai namun tidak begitu kuat sehingga menenggelamkan rasa asli sambal tumis. 

"Penyediaannya menuntut kesabaran kerana mengambil masa selama 12 jam menggunakan api paling kecil dan perlu dikacau setiap setengah jam," katanya kepada Bernama semasa ditemui di ladang buah tin Benefigs di sini.

Faiz Farhan menambah tempoh masa lama bagi menyediakan sambal bertujuan memastikan rasa buah tin benar-benar sebati selain petua orang lama yang mengatakan sambal tumis lebih sedap jika dimasak lama.

Katanya, selain buah tin, bahan lain yang digunakan ialah bawang merah, bawang putih, beberapa jenis cili dan 'beberapa bahan rahsia' bagi menghasilkan resepi tersendiri. 

"Saya berharap nasi lemak ini akan menjadi produk wajib dicuba jika berkunjung ke Janda Baik. Ini juga satu inovasi mempelbagaikan produk buah tin, yang lazimnya dimakan segar atau dikeringkan. 

"Mengapa nasi lemak? sudah tentu kerana nasi lemak makanan kegemaran rakyat Malaysia dan boleh dimakan pada bila-bila masa," katanya yang turut mengusahakan perniagaan makanan dari rumah di Kelana Jaya, Selangor. 

Faiz Farhan berkata idea menggunakan buah tin juga diilhamkan daripada pengalaman di ladang buah tin rakannya Mohamad Hafidz Arifin, 33, yang merupakan penyokong kuat kepada usahanya. 

Ditanya mengenai harga, Faiz Farhan mengakui masih mencari formula untuk mengurangkan harganya, memandangkan nasi lemak itu jual antara RM9.50 ke RM10.90 buat masa ini, kerana harga buah tin yang agak tinggi. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel