Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Bengkel rungkai 'kehilangan' dua spesies penyu di Terengganu Oktober ini


Tarikh kemaskini: 20/06/2019





BESUT, 20 Jun (Bernama) -- Satu bengkel khas akan diadakan pada Oktober ini bagi merungkai misteri ‘kehilangan’ dua spesies penyu yang 'merajuk' kerana tidak lagi mendarat di pantai Terengganu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata satu ketika dulu, empat daripada tujuh spesies penyu di dunia mendarat di Terengganu melibatkan penyu belimbing, penyu lipas, penyu karah dan penyu agar.

"Kita rungsing kerana penyu belimbing dan penyu lipas sudah lama tidak mendarat untuk bertelur di Terengganu.

"Bengkel itu akan mengumpulkan pelbagai data untuk dianalisis pakar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec), Tabung Alam Sedunia (WWF) serta pihak terlibat dengan konservasi penyu bagi mencari langkah penyelesaian agar dua spesies penyu itu tidak lagi 'merajuk' dan akan kembali mendarat di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat kesedaran pemuliharaan penyu bersama pengusaha resort, pemandu bot dan komuniti setempat di Pulau Perhentian di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Zawawi berkata kali terakhir penyu lipas mendarat di Terengganu ialah pada 2003 dan sejak itu haiwan terancam itu tidak lagi muncul di pantai Terengganu.

"Penyu belimbing juga sudah lama tidak mendarat di Terengganu, dan kali terakhir pendaratan dikesan pada 2010. Namun, pada akhir 2017, kita jumpa 92 biji te­lur penyu spesies ini di kawasan Pantai Rhu Cikgu bersempadan Rantau Abang di Dungun namun telur itu tidak menetas.

"Dua spesies ini, bagaimanapun belum pupus kerana masih boleh dikesan di laut, cuma kita nak rungkai kenapa haiwan purba ini tidak mendarat di Terengganu dalam tempoh begitu lama," katanya. 

Ditanya mengenai penyu agar dan penyu karah yang masih mendarat untuk bertelur di Terengganu, Zawawi berkata data Tumec menunjukkan jumlahnya semakin merosot berbanding 10 tahun lalu.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel