Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Alibaba jalin hubungan dengan usahawan untuk terus promosi perdagangan


Tarikh kemaskini: 19/06/2019




CYBERJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Alibaba Group komited menghubungkan platformnya dengan usahawan untuk terus mempromosikan perdagangan, kata Naib Presidennya Brian Wong.

Beliau berkata inilah fokus Alibaba dalam mengurangkan ketegangan perdagangan berikutan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

"Misi kami adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha untuk menghubungkan syarikat dan usahawan, dan cuba mempromosi perdagangan dan bukannya menghentikan perdagangan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan semula pertama Asia bagi Felo e-pengasas dan lulusan Program Latihan Usahawa Internet (Netpreneur) Alibaba Business School, di sini hari ini.

Wong berkata perang perdagangan bukan sesuatu yang baik, dan peranan Alibaba adalah untuk terus mengembangkan perdagangan kerana pada akhirnya ini baik untuk semua orang.

Mengenai prospek ekonomi digital ASEAN, Wong berkata rantau ini berada pada landasan yang betul kerana ia merupakan pasaran pelbagai dengan tahap perkembangan yang berbeza.

"Sejumlah 620 juta penduduk dan ekonomi yang berkembang, inilah prospek positif, dan kesediaan untuk menggunakan teknologi juga merupakan perkara yang positif," katanya.

Wong berkata struktur perniagaan Alibaba berbeza daripada penggiat e-dagang lain kerana strategi perniagaannya lebih inklusif.

"Alibaba ialah sebuah platform, kami tidak mempunyai produk, namun kami membolehkan orang ramai menjual produk. Kami mahu menjadi infrastruktur ekonomi digital, bukan peruncit dalam talian,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Wong berkata Alibaba berkongsi model perniagaannya dengan semua orang untuk memperkasa mereka dalam usaha membina komuniti, dan bukan sebuah empayar.

Lebih 200 usahawan dan peserta dari Asia Tenggara hadir pada majlis itu untuk belajar dan menjalin rangkaian dengan usahawan yang meningkat naik  dari rantau ini serta meraikan kisah kejayaan mereka.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel