Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tular bunuh kucing: Polis Melaka kesan seorang wanita


Tarikh kemaskini: 19/06/2019





MELAKA, 19 Jun (Bernama) -- Polis Melaka sedang mengesan seorang wanita, bagi membantu siasatan berhubung kes seekor kucing ditemui mati dipercayai dibunuh, yang tular di media sosial Facebook dalam kejadian di Bukit Beruang di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata polis menerima laporan daripada pengadu, seorang lelaki berusia 34 tahun pada pukul 10.30 pagi tadi, melaporkan pada 8.30 pagi Sabtu lepas pengadu diberitahu jirannya, ada seekor kucing mati di hadapan kedai makannya.

Beliau berkata kucing yang berusia kira-kira tiga bulan itu adalah milik pengadu, dan setelah membuat semakan kamera litar tertutup di kedai makannya, didapati seorang wanita menaiki motosikal Modenas Kriss berwarna biru meletakkan motosikal di hadapan kedainya, serta dilihat sedang mencari sesuatu.

"Kemudian pengadu dapati selepas beberapa minit, ada seekor anak kucing melintas di hadapan kedai pengadu dan wanita itu telah mengambil kucing tersebut ke tepi kaki lima kedai pengadu, membuat sesuatu yang tidak pasti kepada kucing tersebut.

"Semalam (18 Jun) pengadu dapati kejadian kucing mati tersebut telah diviralkan dalam Facebook.  Siasatan mendapati tiada sebarang saksi yang nampak akan kejadian yang berlaku," katanya dalam  kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Afzanizar berkata siasatan mendapati bahawa terdapat rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian yang merakamkan akan kejadian yang berlaku, namun perbuatan suspek memukul kucing tersebut tidak kelihatan.

Beliau berkata identiti suspek termasuk umur, masih disiasat dan seksyen kes juga belum diklasifikasi.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel